Home Nasional Lapan pengawal keselamatan miliki kad pengenalan palsu dicekup JPN

Lapan pengawal keselamatan miliki kad pengenalan palsu dicekup JPN

Lapan warga asing yang dikatakan menggunakan kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara iniberjaya dicekup JPN dalam operasi hari ini di sekitar Shah Alam, Selangor. - Gambar Ihsan JPN Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tindakan lapan lelaki warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menggunakan kad pengenalan palsu dan memiliki kad pengenalan orang lain terbongkar.

Mereka sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk mendapatkan kad pengenalan palsu dari ejen atau orang tengah untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Nooruladzim Ateman berkata, kesemua mereka ditahan dalam satu operasi pihaknya hari ini melibatkan sepasukan 12 pegawai dan anggota penguat kuasa.

“Operasi khas ini telah dijalankan serentak di tiga buah lokasi berasingan termasuk di satu fasiliti sukan sekitar daerah Shah Alam.

“Dalam serbuan mengejut yang dijalankan itu, JPN telah berjaya menahan seramai lapan lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan yang disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Nooruladzim, hasil siasatan awal mendapati kesemua lelaki yang ditahan itu berasal dari Basilan, Filipina dan berusia 22 hingga 48 tahun.

Kesemua suspek mengaku kepada JPN mereka mendapatkan kad pengenalan Malaysia dari ejen yang dikenalinya dengan harga antara RM250 hingga RM500.

“Semasa operasi dijalankan di salah satu lokasi telah berlaku pergelutan antara tiga orang pengawal keselamatan asing dengan penguat kuasa JPN disebabkan mereka cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun dengan pengalaman dan ketangkasan anggota operasi JPN, kami telah berjaya menahan kesemua pengawal keselamatan warga asing itu untuk proses dokumentasi dan tindakan seterusnya,” katanya.

Kesemua mereka disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kesemua lapan warga asing itu dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.- MalaysiaGazette