KUANTAN – Lapan wanita pendatang tanpa izin (PATI) dari Thailand, Laos dan Vietnam ditahan oleh Jabatan Imigresen Pahang kerana disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dalam Op Gegar pada Selasa lalu.
Pengarahnya, Muhammad Hatta Kasim berkata, kesemua mereka ditahan ketika serbuan dilakukan ke atas tiga buah premis yang berbeza di Jalan Lim Ho Lek, di sini.
“Seramai lapan wanita warganegara Thailand, seorang Vietnam dan seorang lagi dari Laos ditahan dalam Op Gegar.
“Op Gegar yang dijalankan pasukan Imigresen Pahang menjalankan pemeriksaan di sekitar Kuantan bagi membanteras kegiatan pelacuran wanita warga asing yang berselindung di sebalik rumah urut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasil siasatan mendapati kesemua suspek didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan pihaknya turut menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti tidak bermoral dalam serbuan terbabit, ujarnya.
Menurut Hatta, mereka didakwa di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Jika disabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan, katanya
Manakala Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan jika tinggal lebih masa di Malaysia
Operasi tamat jam 4 petang itu dilakukan oleh Ketua Unit Operasi Jabatan Imigresen Pahang, Jeffri Nasir bersama 20 pegawai dan anggota. – MalaysiaGazette