Home Sukan Rekod tanpa kalah di laman sendiri KL City lebur

Rekod tanpa kalah di laman sendiri KL City lebur

Pemain JDT, Martin Forestieri meraikan jaringan bersama pasukan selepas berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 diantara Johor Darul Takzim menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Rekod tanpa kalah KL City FC dalam 23 perlawanan di laman sendiri lebur selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada masa sama, skuad kendalian Bojan Hodak pula berada dalam keadaan parah apabila dibolosi dengan tiga gol dalam tiga aksi berturut-turut selain masih menanti kemenangan sulung mereka pada musim ini.

Gol pertama hadir pada minit ke-17 yang membolehkan JDT mendahului perlawanan apabila Fernando Forestieri melakukan penyudah kemas untuk gol pembukaan pelawat.

Bersambung babak kedua, KL City FC tersentak apabila terpaksa meneruskan baki lebih setengah jam perlawanan dengan 10 pemain apabila Kenny Pallraj dilayangkan kad merah selepas mengasari Velazquez pada minit ke-56.

Pemain JDT tidak berpuas hati dengan tindakan pemain Kuala Lumpur City FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 APRIL 2022.

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias memastikan gawangnya tidak bolos apabila pantas menutup peluang Paulo Josue daripada mendapat jaringan penyamaan pada minit ke-66.

Skuad Harimau Selatan akhirnya memadam sisa perjuangan KL City FC dengan Bergson menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 dan menambah gol keduanya pada penghujung permainan. – MalaysiaGazette