Home Politik Ahli perlu muat turun aplikasi ADIL untuk mengundi

Ahli perlu muat turun aplikasi ADIL untuk mengundi

Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Bagi melancarkan proses pengundian, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR giat menjalankan usaha meminta ahli memuat turun aplikasi ADIL.

Tanpa aplikasi itu, JPP akan menghadapi kesukaran untuk membuat semakan dan meneliti kelayakan seseorang ahli.

Ini dinyatakan Pengerusi JPP, Dr. Zaliha Mustafa yang meminta semua ahli berbuat demikian bagi membolehkan pihaknya mengemaskini butiran peribadi dan mendaftar sebagai Pemilih Atas Talian (PAT).

“Proses pencalonan yang bermula hari ini hingga Ahad adalah untuk menentukan kepemimpinan di 222 cabang PKR, manakala bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijadualkan Isnin ini.

“Pencalonan bagi peringkat cabang dan MPP yang mempertaruhkan jawatan tertinggi parti akan dilaksanakan sepenuhnya secara digital melalui aplikasi ADIL.

“Bagaimanapun, kita akan menyediakan pusat pencalonan fizikal di negeri dan ibupejabat PKR bagi mereka yang memerlukan bantuan melengkapkan borang pencalonan,” katanya di sini.

Pemilihan PKR 2022 menyaksikan pertembungan satu lawan satu jawatan Timbalan Presiden antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Naib Presidennya, Rafizi Ramli.

Bagi kerusi Naib Presiden, sebanyak empat pencalonan diterima setakat ini iaitu Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Nik Nazmi Nik Ahmad, Fuziah Salleh, Fahmi Fadzil dan Manivanan Govin.

Menurut Dr. Zaliha, surat pemberitahuan kepada pimpinan PKR semua peringkat berkaitan pemilihan parti telah dikeluarkan.

Surat itu, katanya, menjelaskan kaedah pengundian yang akan mengenalkan konsep ‘Satu Anggota Satu Undi’ menerusi kaedah e-pemilihan.

Sementara itu, kata beliau, bagi melancarkan pemilihan itu, pihaknya melanjutkan tarikh akhir mengemaskini dan proses verifikasi sehingga 21 April ini.

Proses itu bagi membolehkan anggota parti mendaftar dan mengisi maklumat diri menerusi aplikasi ADIL untuk melayakkan mereka mengundi.

“Walaupun pencalonan dilakukan secara dalam talian, namun pusat pencalonan secara fizikal akan dibuka sepanjang tempoh itu bagi membantu anggota mencalonkan diri melalui aplikasi ADIL,” katanya. – MalaysiaGazette