KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak jelas tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan selepas pasukannya tewas 0-3 kepada juara bertahan, JDT dalam aksi Liga Super di Cheras, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau mengambil sikap untuk ‘kunci mulut’ daripada mengkritik mutu pengadilan kerana bimbang akan berdepan hukuman denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Malaysian Football League (MFL).
“Saya tak nak komen sebab saya pasti akan bercakap mengenai pengadil. Saya tak boleh cakap mengenai pengadil kerana saya akan didenda nanti. Kami tidak gembira dengan pengadil dan akan menghantar klip rakaman video kepada FAM.
“Saya fikir kad merah membunuh perlawanan itu. Kalau saya beri pandangan (mengenai pengadil), mereka akan denda saya. Itu kena tanya orang lain dan bukan saya,” kata Hodak ketika sidang media selepas perlawanan tersebut.
Semalam, KL City terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Kenny Pallraj dilayangkan kad merah kerana didakwa mengasari Leandro Velazquez pada minit ke-56.
Situasi itu mencetus perbalahan antara Kenny dengan pengadil sehingga terpaksa ditenangkan oleh pegawai pasukan.
Kekalahan kepada JDT juga bermakna rekod tanpa kalah KL City dalam 23 perlawanan Liga Malaysia di halaman sendiri lebur. Namun begitu, Hodak tetap tidak puas hati rekod tersebut dileburkan dengan cara yang tidak sepatutnya.
“Tiada apa yang boleh saya katakan kepada pemain kerana mereka sudah beraksi dengan baik. Saya berpendapat rekod tidak kalah yang menakjubkan ini sepatutnya tidak berakhir dengan cara sebegini. Kalah 3-0 adalah sesuatu yang buruk,” tambahnya. – MalaysiaGazette