Home Seni Hidup MAIWP salur bantuan perubatan RM4.4 juta pada pesakit

MAIWP salur bantuan perubatan RM4.4 juta pada pesakit

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad menyampaikan replika cek bernilai kepada Pengerusi Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) Toh Puan Dr Aishah Ong (kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan Tahun 2022 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Hospital Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan bantuan perubatan kepada 1,736 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,396,959 sehingga Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, bantuan di bawah Skim Bantuan Perubatan ini merupakan satu daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan MAIWP.

“Melalui skim ini, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mereka yang berkelayakan.

“Antara bantuan yang disalurkan di bawah skim ini adalah bantuan heamodialisis, peralatan kesihatan, perubatan am dan kanak-kanak khas orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya hari ini.

Idris Ahmad

Tambah Idris, bantuan yang diusahakan oleh MAIWP ini bertujuan membantu pesakit asnaf dan kurang berkemampuan menanggung kos rawatan serta membeli peralatan yang amat tinggi.

Pada tahun ini MAIWP menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1.03 juta kepada tabung kebajikan 12 buah hospital dan pusat perubatan di Wilayah Persekutuan.

“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu para pesakit yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan peralatan perubatan, pembelian ubatan khas dan bantuan am seperti pembedahan atau rawatan susulan,” ujarnya.

Antara penerima sumbangan berkenaan ialah tabung kebajikan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Muhriz, Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, Yayasan Institut Jantung Negara, Hospital Labuan, Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tunku Mizan dan Hospital Rehabilitasi Cheras.

Turut menerima sumbangan ialah Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Kajang, Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh yang berkongsi tabung kebajikan.

Dr Wan Samhanin Sulaiman

Sementara itu, Ketua Unit Kerja Sosial Perubatan Hospital Putrajaya, Dr Wan Samhanin Wan Sulaiman berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana MAIWP masih mengiktiraf hospital untuk menjadi wakil menyampaikan bantuan kepada pesakit golongan asnaf dan tidak berkemampuan dalam aspek perubatan.

“Pertama sekali sumbangan yang diberikan ini adalah untuk pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan serta golongan asnaf.

“Jadi kami akan meluaskan lagi penyampaian bantuan ini kepada pesakit-pesakit yang mana amat memerlukan dengan segera seperti bantuan keperluan perubatan atau rawatan supaya dapat meringankan bebanan mereka dan kembali bersama masyarakat dalam keadaan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette