KUANTAN – Seorang lelaki ditahan bersama tiga jentera berat semasa melakukan aktiviti pencerobohan di Hutan Simpan Rotan Tunggal, Raub pada Rabu lalu.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Shahril Mohamad berkata, rampasan jentera berat itu membabitkan satu jentolak dan dua jengkaut.
Hasil daripada aduan dan makluman orang awam pihaknya bertindak membuat risikan dan melakukan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua jentera itu berada dalam kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal dan dipercayai digunakan untuk membina jalan dan pembersihan hutan untuk ditanam dengan kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Shahril, pihaknya membuat semakan dan ada pihak mengaku jentera miliknya digunakan membersihakan tanah untuk menanam kelapa sawit.
“Semasa pemeriksaan dilakukan oleh kakitangan JPNP, tiba-tiba muncul lelaki yang mendakwa jentera terbabit miliknya. Oleh itu, kita bertindak menahannya bagi tujuan siasatan dan dihantar ke balai, kemudian laporan polis turut dibuat berikutan pencerobohan itu,” katanya.
Bagaimanapun lelaki yang bersusia 48 tahun itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Tambah beliau, pihaknya menyimpan sementara tiga jentera berkenaan di Batu 18, Jalan Sungai Koyan dan menemui tiga kayu jaras spesies Chengal yang dipercayai ditebang oleh penceroboh hutan berkenaan. – MalaysiaGazette