Home Politik Ramanan mungkin tanding Naib Presiden PKR

Ramanan mungkin tanding Naib Presiden PKR

R Ramanan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk R. Ramanan masih lagi menunggu ‘lampu hijau’ untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu pada bulan depan.

Bagaimanapun beliau tidak menolak akan bertanding jika mendapat restu.

Jika tidak Ramanan yang juga Timbalan Pengarah Strategi parti tetap bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Buloh.

Bercakap dengan MalaysiaGazette,, Ramanan sedia menimbangkan untuk bertanding jawatan nombor tiga parti memandangkan segelintir pimpinan dan penyokong mahu beliau berbuat demikian.

Namun keputusan muktamad belum lagi di buat.

“Ya benar apa yang anda dengar itu. Saya memang sedang berkira-kira untuk bertanding Naib Presiden PKR tetapi pada masa sama saya perlu tunggu pimpinan nombor satu, masih ada masa lagi.

“Jika betul, saya akan buat pengumuman sebelum Ahad ini tetapi saya akan tetap bertanding untuk jawatan Ketua Cabang Sungai Buloh, saya sudah daftar atas talian hari ini,” katanya hari ini.

Untuk jawatan Naib Presiden PKR, setakat ini, beberapa pemimpin sudah tampil mengumumkan diri untuk bertanding.

Antaranya Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua PKR Cawangan Kota Raja, Dr. Gunaraj George, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mantan Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Govin, Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang dan Naib Ketua Pemuda PKR, Thiben Subramaniam.

Selain itu ada juga menjangka Puteri Reformasi merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar juga akan bertanding jawatan naib presiden kali ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Ramanan tidak gentar  berlawan dengan penyandang terdahulu yang juga Ahli Parlimen Sungai Sungai Buloh, R. Sivarasa, bekas Bendahari Agung MIC itu berkata, dirinya cukup yakin dengan kemenangan.

“Jika tidak yakin tidak mungkin saya hendak tanding. Ini sebuah parti demokrasi dan sesiapa sahaja mempunyai kebebasan untuk bertanding. Saya di beri sokongan tidak berbelah bahagi oleh pimpinan dan akar umbi,” ujarnya.

Proses pencalonan dalam pemilihan PKR 2022 untuk menentukan kepimpinan di 222 cabang parti bermula hari ini hingga Ahad depan manakala bagi Majlis Pimpinan Pusat pula dijadualkan berlangsung pada Isnin depan.

Pencalonan bagi peringkat cabang dan MPP yang mempertaruhkan jawatan tertinggi parti, akan dilaksanakan sepenuhnya secara digital melalui aplikasi ADIL.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan Parti  akan menyediakan pusat pencalonan fizikal di negeri dan ibu pejabat PKR bagi mereka yang memerlukan bantuan melengkapkan borang pencalonan. – MalaysiaGazette