PERCAYA atau tidak, gejala rasuah semakin menebal di dalam kalangan masyarakat kita. Ia seolah-olah seperti satu budaya dan amalan yang menjadi kebiasaan saban hari. Entah dari mana gejala ini mula bertapak, tanpa diduga ianya semakin membarah.
Hal ini terbukti jelas apabila Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata bahawa Malaysia mencatatkan skor 48 berbanding sebanyak 51 peratus pada tahun 2020. Cara penskoran ini dibuat dengan mengambil kira senarai jumlah 180 buah negara. Malah, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada tahun 2020. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ini boleh dijadikan kayu ukur keseriusan kerajaan dan komuniti kita dalam membanteras rasuah. Memetik laporan yang sama, kes seperti 1MDB dan SRC yang masih lagi belum selesai tempoh perbicaraan dan rayuan merupakan salah satu penyumbang kepada kejatuhan kedudukan ini.
Tambahan lagi, menurut laporan “Corruption in the Supply Chain: Forms and Impacts on Consumers” yang telah dibuat oleh IDEAS (Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi) dan CBI (Coalition for Business Integrity) pada tahun 2021 yang lalu menyimpulkan bahawa dalam sektor pembinaan, rasuah boleh berlaku ketika di peringkat sebelum pembangunan dan semasa pembangunan dijalankan. Mereka mengenal pasti sejumlah pemberian rasuah bagi melancarkan hak penukaran tanah dan penghantaran pelan pembinaan, malah rasuah diberi untuk mendapatkan pekerja asing dan sijil penyiapan projek.
Bukan itu sahaja, laporan ini juga menyentuh soal rasuah yang berlaku dalam sektor penjagaan kesihatan, bidaan untuk mengendalikan kantin sekolah dan meluluskan lesen kebenaran pembukaan tadika. Realitinya, gejala rasuah ini memang berlaku di pelbagai peringkat dan tidak terkawal. Setiap keputusan seperti sudah dipengaruhi oleh
sebuah entiti yang mengamalkan rasuah. Secara tak langsung ia memberi kesan kepada kelancaran ekonomi setempat dan nasional, kualiti pendidikan dan mencemar mutu perkhidmatan di dalam negara kita.
Gejala ini boleh disimpulkan sebagai kanser tahap keempat yang sukar untuk dirawat. Hanya tunggu masa sahaja! Jika rasuah ini boleh ditafsirkan, saya kira ia juga merupakan sebuah jenayah yang boleh membunuh sesebuah institusi mahupun generasi akan datang. Ia jelas sangat menakutkan. Malulah negara kita dikenali sebagai negara yang komited dengan rasuah! Integriti dilihat sebagai mainan, tetapi rasuah dilihat sebagai aset yang mesti dikembangkan. Usah kita bicara tentang urus tadbir yang baik “good governance” jika keadaan ini semakin pekat melekat di dalam setiap ruangan institusi negara kita yang cintai ini.
Memahami rasuah kembali
Menurut portal rasmi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendefinisikan rasuah sebagai sebuah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. Contoh yang mudah untuk kita fahami apabila seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan. Begitulah sebaliknya. Kesalahan rasuah ini juga termaktub di
dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694).
Persoalan yang mungkin tiada jawapan
Mengimbas semula kedua-dua laporan sebentar tadi, saya tanyakan soalan ini kepada anda tentang mengapa gejala rasuah ini kerap kali berlaku? Dan mengapa korupsi ini dilihat sebagai jalan utama dalam mendapatkan sesuatu kelulusan dan sebagainya?
Adakah ianya disebabkan oleh sistem pendidikan yang kita bangunkan? Atau adakah ianya disebabkan oleh pembangunan institusi keluarga yang lemah lalu mengakibatkan kekurangan etika dan moral? Atau Kos sara hidup semakin tinggi lalu mengakibatkan segelintir orang mengambil rasuah untuk meneruskan baki hidupnya? Mari kita
lanjutkan persoalan ini di meja solusi. Jika nak lenyapkan gejala rasuah ini secara “lump sum” mungkin tidak akan berlaku. Tetapi ia memerlukan sebuah jalan penyelesaian yang konkrit bermula dengan satu tekad yang tuntas lantas diterjemahkan ke medan realiti.
Justeru itu, usaha untuk memerangi rasuah mahu pun korupsi ini perlu dimulai dari institusi terkecil di dalam negara kita iaitu institusi keluarga. Pertama, cadangan kepada Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) boleh laksanakan kajian awal untuk merangka modul yang sifatnya merakyat ke akar umbi
dalam mempromosi tadbir urus yang cekap dan perangi rasuah habis-habisan. Modul ini boleh diterapkan di pelbagai institusi pendidikan bagi melahirkan generasi yang melawan korupsi. Mungkin sebahagian orang melihat cadangan ini kecil, tetapi peribahasa melayu pernah menyatakan “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya” boleh
menjawab dakwaan ini.
Baru-baru ini hampir 300 pensyarah Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Swasta telah menyertai ToT (Training of Trainers) bagi Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR). Program ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM lantaran pengumuman oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju agar semua IPT di Malaysia menawarkan KIAR. KIAR akan ditawarkan sebagai kursus elektif mulai 2021 dan seterusnya menjadi kursus wajib pada tahun 2023. Usaha ini sangat signifikan untuk memberikan pendedahan awal kepada anak muda tentang bahayanya rasuah dan korupsi. Namun begitu, kursus ini disaran untuk kita teliti dengan lebih mendalam lagi sejauh mana impaknya kepada pembangunan modal insan di dalam sesebuah komuniti.
Kedua, cadangan penyelesaian seterusnya di peringkat yang lebih besar lagi adalah kerajaan harus memastikan apa yang sudah direncanakan di dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dapat dijalankan dengan baik dan membuahkan hasil. Pelan ini mencerminkan bahawa Malaysia sangat komited dalam memastikan urus tadbirnya bersih dan anti rasuah. Untuk makluman, pelan ini merupakan wawasan jangka masa panjang kerajaan dalam membanteras rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan yang merangkumi usaha pembanteras rasuah di kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan sebagainya.
Mungkin perkara yang dicadangkan ini pernah disebut dahulu. Namun begitu, niat saya hanyalah untuk memberi penekanan agar perkara ini dapat dilaksanakan oleh pembuat dasar dan pihak yang bertanggungjawab agar kita boleh mencapai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang lebih bermaruah kelak. ia memerlukan dasar yang mampan dan
merentasi semua segmen masyarakat. Sekiranya usaha ini diambil serius oleh semua pihak, nescaya kita dapat membina satu ekosistem yang harmoni dalam pembentukan negara yang berintegriti dan menolak korupsi.
Oleh: Professor Dr Hanim Salleh
Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia