Home Nasional 16 warga Malaysia dipaksa jadi scammer dijangka pulang Selasa ini

16 warga Malaysia dipaksa jadi scammer dijangka pulang Selasa ini

Kesemua 16 warga Malaysia Malaysia yang dipaksa menjadi scammer di Kemboja dalam keadaan selamat dan mereka akan dibawa pulang dari Phnom Penh Selasa ini. Gambar Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Kesemua 16 warga Malaysia Malaysia yang dipaksa menjadi scammer di Kemboja dalam keadaan selamat dan mereka akan dibawa pulang dari Phnom Penh dalam masa terdekat

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, proses dokumentasi warga Malaysia itu kini sedang diuruskan oleh kedutaan Malaysia dan pihak berkuasa Kemboja.

“Mungkin pada Selasa ini (pulang ke Malaysia),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Sementara itu, Abd Jalil menerusi satu kenyataan berkata, mangsa yang berumur antara 19 hingga 43 tahun itu yang terperangkap di wilayah Preah Sihanouk diselamatkan polis Kemboja pada jam 12 tengah hari 5 April lalu.

“Kesemua mangsa mendakwa telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji yang lumayan melalui aplikasi Facebook.

“Mereka dijanjikan bahawa segala kos perbelanjaan perjalanan ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja namun setelah kesemua mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa telah dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan yang ketat,” ujarnya.

Menurut Abd Jalil, setelah sampai di Kemboja, kesemua mangsa menyedari tentang pekerjaan sebenar mereka dan merasakan telah diperdayakan.

Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati kesemua mangsa telah dipaksa untuk bekerja sebagai scammer di Kemboja. – MalaysiaGazette