Home Nasional Ibadah haji, TH dah siap siaga – Idris

Ibadah haji, TH dah siap siaga – Idris

Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sedang menunggu makluman kuota dari kerajaan Arab Saudi sebelum membuat persediaan para jemaah menunaikan ibadah haji.

Hal ini dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad selepas mendapat perkhabaran kerajaan Arab Saudi membenarkan sejuta jemaah dari dalam dan luar negara melakukan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Sambil mengucapkan syukur kerana selepas dua tahun umat Islam tidak dapat menunaikan haji, pengumuman itu merupakan berita gembira kepada jemaah di Malaysia mahupun seluruh dunia.

“Alhamdulillah, dua tahun… satu tempoh cukup lama bagi mereka yang rindukan bumi haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang penuh hikmah.

“Pastinya berita ini benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantinya dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah haji.

“Malah, jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Idris, Tabung Haji (TH) akan segera memaklumkan kepadanya apabila kuota haji bagi Malaysia akan diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi sedikit masa lagi.

“Sekali lagi, beberapa sidang media yang saya maklumkan sebelum ini, komitmen TH yang telah bersedia untuk memastikan kelancaran ibadah haji kepada bakal jemaah di negara kita telah pun dipersiap siagakan.

“Kita hanya tinggal untuk mendapatkan kuota dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik.

“Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua,” kata beliau. – MalaysiaGazette