KUALA LUMPUR – Kemelut syarikat Sapura Energy Berhad bukan lagi isu kecil dan kini umum mengetahui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam fasa membaik pulih syarikat milik kerajaan tersebut.
Namun dalam mendepani pelbagai kemelut itu, tidak dapat dijangkakan bilakah perkara ini dapat ditangani dan akan berakhir.
Menurut Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, isu berkaitan ekonomi ini sangat sukar dijangka kerana ia mengalami perubahan daripada masa ke masa dan adakalanya perubahan yang begitu ketara.
“Pertamanya kita kena faham, 10 atau 15 tahun dahulu era ekonomi berubah begitu ketara.
“Ada satu istilah dalam ekonomi yang disebut sebagai VUCA iaitu Volatility (tidak menentu), Uncertainty (tidak pasti), Complexity (kaitan antara sektor ekonomi) dan Ambiguity (perhubungan tidak begitu mudah ditafsirkan).
“Ini adalah sifat ekonomi hari ini yang bagi saya kita sedang berhadapan dengan VUCA untuk masa-masa mendatang,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk Isu Sapura: Perlukah Kerajaan Terlibat?
Program secara langsung itu membincangkan sejauh mana keterlibatan kerajaan dalam usaha membantu membaik pulih Sapura yang kini berhadapan jumlah hutang yang tinggi.
Noor Azlan berkata, bersandarkan kepada sektor minyak dan gas, bermula sejak awal tahun 2000, graf turun naik sangat ketara berlaku dan sangat dahsyat.
“Ini bukan berlaku kerana fenomena tahun 1970-an atau 1980-an yang mana ada pihak membuat perbandingan dengan era Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.
“Era sekarang lain di mana pengurusan ekonomi juga sangat-sangat berbeza, malah dalam konteks yang lebih luas, perancangan pembangunan negara juga harus mengambil kira VUCA ini.
“Jadi, jika kita biasa buat perancangan lima tahun, adakah perancangan itu wajar dalam konteks ekonomi yang berubah-ubah ini?
“Contohnya, ketika kerajaan membembentangkan Belanjawan 2021, pada ketika itu, kita menjangkakan pertumbuhan untuk tahun 2021 adalah sekitar 6.5 hingga 7.5 peratus.
“Tetapi apa yang berlaku sebaliknya di mana pertumbuhan berakhir dengan hanya 3.1 peratus sahaja iaitu kurang separuh, inilah VUCA selepas satu, satu masalah datang,” ujarnya.
Jelasnya, perkara itu tidak dijangka dan ditambah dengan isu global yang melibatkan Rusia dan Ukraine.
“Selepas ini kita tidak tahu apa yang akan berlaku pula. Dengar-dengarnya pula, pihak NATO marah kepada China kerana tidak menegur perbuatan Rusia.
“Ini bermakna geo politik telah berubah yang mana rantaian pembekalan dan ekonomi yang kompleks.
“Bukan hanya sektor perniagaan malah pengurusan ekonomi negara juga harus menerima hakikat kita sekarang berada dalam era VUCA,” katanya.
Beliau berkata, dengan apa yang telah terjadi ini, tidak dapat dipastikan berapakah tempoh masa untuk PNB berusaha membaik pulih Sapura.
“Saya tidak boleh nak unjur berapa kerana ia memerlukan penilaian yang amat terperinci.
“Saya juga berharap, jika kerajaan meneruskannya, pastikan sasaran dan penjadualan, pemantauan, pelaksanaan dan prestasi yang jelas.
“Kerajaan juga harus memastikan semuanya mengikut apa yang telah dijadualkan. Ini lebih penting daripada sasaran tahun yang diletakkan,” katanya.
Sapura dilapor mencatat kerugian bersih luar biasa RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.
Syarikat itu juga dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan, apabila paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi, ditambah dengan kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit. – MalaysiaGazette