Home Utama Daftar e-tunai RM150 untuk belia, pelajar IPT tempatan mulai esok

Daftar e-tunai RM150 untuk belia, pelajar IPT tempatan mulai esok

Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Mulai 11 April ini, belia yang berusia di antara 18 sehingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi tempatan yang layak untuk menyertai program ePemula boleh mendaftar.

Program ini menawarkan e-tunai bernilai RM150 dalam bentuk kredit e-tunai dengan salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Kementerian Kewangan berkata, program ini diumumkan semasa Belanjawan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Program ePemula ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April ini.

Selain dari RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini.

Menurut kementerian itu, Program ePemula ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2022 (lahir pada tahun 2002 hingga 2004) atau merupakan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di institut pengajian tinggi tempatan yang berdaftar.

Data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.

Katanya, tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula ini akan bermula pada 11 April 2022 sehingga 1 Jun 2022, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan dari penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html

Bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html. – MalaysiaGazette