Home Pendapat Jangan lalai dalam perang menentang Covid-19

Jangan lalai dalam perang menentang Covid-19

Orang ramai membeli belah ketika fasa peralihan ke endemik dan persediaan menjelang ramadan ketika tinjauan Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 02 APRIL 2022.

NEGARA telah memasuki fasa peralihan endemik setelah hampir dua tahun bertarung dengan wabak Covid-19. Tidak dinafikan yang penutupan penuh ekonomi serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dahulu telah memberi impak yang besar bukan sahaja terhadap ekonomi negara malah kehidupan biasa. Ini ternyata apabila terdapat individu yang hilang sumber pendapatan sehingga terpaksa berikat perut.

Kita perlu berhadapan dengan fakta yang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi tidak lagi mampan untuk ekonomi negara dan kelangsungan hidup.

Dalam fasa peralihan ini terdapat banyak kelonggaran yang telah diumumkan oleh kerajaan. Antaranya adalah pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan, kebenaran untuk merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi seseorang dan solat Jemaah di masjid dan upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam juga dibenarkan tanpa penjarakkan fizikal.

Ini merupakan tanda aras atau indikator yang Malaysia mula kembali ke kehidupan normal iaitu keadaan para-pandemik dan ketetapan tersebut disambut baik oeh semua pihak. Namun, kita tidak boleh mengambil kesempatan ke atas kelonggaran yang diumumkan. Masyarakat perlu memainkan peranan untuk memastikan yang kesilapan lampau tidak kembali menghantui kita sekali lagi.

Jangan sesekali lupa, harga mahal yang harus dibayar jika kita alpa dalam pertarungan menentang Covid-19. Sikap lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan hanya akan membawa padah.

Vaksin, pelitup muka, penjarakan fizikal dan cecair sanitasi tangan adalah “amunisi” semata-mata dalam perang menentang virus Covid-19. Sikap, tingkah laku serta amalan yang betul dan bertanggungjawab oleh masyarakat merupakan kunci kejayaan dalam pertarungan ini. pematuhan kepada SOP bukan sesuatu yang membebankan atau menyusahkan. SOP tersebut ditetapkan untuk keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Hari Raya Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi dan kelebihan perayaan pada tahun ini adalah kebenaran untuk rentas negeri. Tidak dinafikan yang terdapat banyak orang dan juga para petugas barisan hadapan yang masih belum sempat merasa suasana menyambut Hari Raya Puasa dengan keluarga tercinta sejak pandemik Covid-19 melanda.

Oleh itu, marilah kami menghargai kejayaan yang dicapai setakat ini. Ingatlah yang ia boleh bertukar menjadi kegagalan pada bila-bila masa. Jangan benarkan kes positif dan kluster baharu wujud hanya kerana sikap lalai.

Yeap Ming Liong
Subang Jaya, Selangor