Home Utama PM yakin pembangkang tak boikot pindaan Perlembagaan esok

PM yakin pembangkang tak boikot pindaan Perlembagaan esok

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai Pindaan perlembagaan Perseketuan di Dewan Sri Endon, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM. 10 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin pembangkang akan memberikan sokongan mereka terhadap usul meminda Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang akan mengambil tempat di Parlimen esok.

Jelasnya, pembangkang tidak akan memboikot pindaan itu kerana mereka juga turut memaklumkan menerima pindaan tersebut.

“(Pembangkang) tidak akan boikot, saya dah dimaklumkan dan saya difahamkan (mereka) akan datang petang ini untuk berbuka puasa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Sri Endon, Puspanita hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berkata taklimat yang dihadiri oleh Ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan dan Ahli Dewan Negara itu turut disertai wakil pembangkang.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Wo;  Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman; dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli turut hadir sesi taklimat hari ini.

“Tapi saya difahamkan mereka buat mesyuarat pre-council satu sebelum sidang di peringkat kerajaan, hari ini fokusnya satu saja,” katanya.

Petang tadi beberapa Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet berkumpul di Dewan Sri Endon bagi mengikuti taklimat khas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Antaranya Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Menyusul adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Mahdzir Khalid serta Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Turut hadir adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri MOSTI, Datuk Seri Adham Baba serta Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz. – MalaysiaGazette