KUALA LUMPUR – Saksi kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal jenis Demak Evo Z yang dipercayai terbabas dan jatuh di Jalan Kuala Selangor hala Kepong pada Ahad lalu diminta tampil.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan kematian mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun di wad kecemasan Hospital Sg Buloh.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 3 April lalu jam lebih kurang 6 pagi. Mangsa merupakan seorang lelaki warganegara tempatan dipercayai terbabas dan jatuh di atas jalan raya,” katanya menerusi kenyataan.
Mohamad Fakhrudin memohon saksi tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairul Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 untuk membantu siasatan.
Sebagai rekod, lelaki berkenaan dikejarkan ke hospital dan telah dimasukkan ke zon kecemasan bagi mendapatkan rawatan selepas kejadian lebih kurang 6 pagi.
Bagiamanapun mansa disahkan meninggal dunia pada jam 1.1 pagi pada Selasa semasa menerima rawatan di hospital berkenaan. – MalaysiaGazette