KUALA LUMPUR – Penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman mengakui berdepan kesukaran apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Namun pemain dari Liberia itu berkata, kekalahan 0-3 kepada PJ City pada perlawanan pertama memberi banyak pengajaran kepada Terengganu dan segala kelemahan perlu diperbaiki.
“Berdepan JDT, mereka memang lawan yang kuat jadi kami kena bekerja lebih keras dan perbaiki kelemahan”, katanya
Sherman berkata, dia sukar untuk menembusi sehingga sembilan pemain di benteng pertahanan PJ City dalam aksi Liga Super pada Rabu lalu.
Dia menyifatkan PJ City begitu kebal di barisan pertahanan tanpa langsung memberi peluang kepada mereka untuk menembusi gawang gol dan akhirnya pulang tanpa sebarang jaringan.
“Memang sangat kecewa apabila tewas 0-3 apatah lagi ini adalah perlawanan pertama kami untuk musim ini.
“PJ city bermain hampir lapan hingga sembilan pemain di bahagian pertahanan dan kami susah nak menembusi mereka, jadi kami hilang peluang dan tewas.
“Selepas berakhir perlawanan, jurulatih (Nafuzi Zain) terus memberikan semangat dan motivasi kepada kami untuk terus bangkit dan kena belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan Rabu lalu,” katanya. – MalaysiaGazette