Home Nasional Iftar Rumah Prihatin hanya RM3 sahaja seorang – Annuar

Iftar Rumah Prihatin hanya RM3 sahaja seorang – Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (dua kanan) mencedukkan lauk kepada sebahagian tetamu pada Majlis Pelancaran Iftar Ramadan @ Rumah Prihatin di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Rumah Prihatin @ Grand Seasons menganjurkan Iftar Rumah Prihatin yang bertaraf hotel dengan bayaran RM3 sahaja untuk seorang bermula hari ini sehingga 1 Mei depan.

Pengasas rumah itu, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun harga iftar itu murah, menu yang disajikan disediakan oleh cef bertaraf hotel lima bintang dan dibantu Sukarelawan Wilayah Prihatin (PRIVO) yang mempunyai pengalaman dalam bidang perhotelan dalam dan luar negara.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberitahu, iftar Ramadan itu juga bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara pemimpin dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang berdasarkan konsep Keluarga Malaysia.

“Orang ramai yang hadir turut berpeluang bertemu artis dan personaliti televisyen yang akan menjadi hos majlis ini.

“Dengan RM3 seorang, mereka boleh taja atau bawa asnaf, musafir, orang kurang upaya (OKU), warga emas atau makan untuk diri sendiri.

“Kita menggalakkan tempahan awal tarikh kerana tempat yang terhad iaitu sekitar 250 hingga 300 orang disediakan sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Iftar Rumah Prihatin di Grand Season di sini hari ini.

Seramai 250 orang pengunjung yang hadir terdiri daripada penduduk sekitar Wilayah Persekutuan, keluarga B40, anak-anak tahfiz dan pelbagai lapisan masyarakat di mana pengunjung berpeluang bersama-sama selebriti terkenal tanah air yang turut hadir antara Datuk A Aida dan Ako Mustapa.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Iftar Rumah Prihatin turut bertujuan untuk memberi kesedaran berkenaan penubuhan Sukarelawan PRIVO.

Kata beliau, ia bagi mengajak lebih ramai anak muda serta masyarakat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan yang dapat melatih potensi diri anak muda untuk menjadi seorang pemimpin kepada diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat di kalangan mereka.

“Pada masa sama, pihak korporat dan individu yang ingin sama menyumbang sepanjang Ramadan ini amat dialu-alukan dan boleh menghubungi talian bebas tol Rumah Prihatin di talian 1800887997,” katanya. – MalaysiaGazette