Home Sukan Kecewa dimaki, Safuwan maafkan penyokong Selangor

Kecewa dimaki, Safuwan maafkan penyokong Selangor

Safuwan Baharudin.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Selangor, Safuwan Baharudin menegaskan beliau akan melindungi rakan sepasukan daripada perkara yang tidak diingini, baik di dalam dan luar padang.

Menerusi laman Instagram Story miliknya, dia menegaskan selagi menjadi ketua pasukan, Brendan Gan masih belum pulih dan dia dilantik sebagai ketua pasukan, menjadi tugasnya untuk sentiasa melindungi rakan sepasukan.

“Selagi Brendan Gan, ketua pasukan sebenar belum kembali di atas padang, saya akan cuba sebaik mungkin untuk melindungi pemain baik di dalam mahupun di luar.

“Tetapi kalau kejadian seperti semalam berlaku, memang agak mengecewakan bagi saya. Kata-kata yang keluar dari mulut anda, menyatakan banyak perkara mengenai diri anda.

“Ayuh kita berganjak dari kejadian ini. Terus memberikan sokongan kepada pasukan tak kira apa pun. Pada penghujung hari, kita semua ini manusia. Sentiasa positif. Saya maafkan anda,” tulisnya.

Selepas perlawanan menentang Kedah malam tadi, salah seorang individu daripada kumpulan penyokong, Ultrasel telah memaki persembahan Selangor FC yang ditampilkan  sebelum ini meskipun memenangi perlawanan dengan keputusan 4-1.

Individu tersebut berpendapat para pemain perlu menampilkan prestasi terbaik bagi memastikan mereka tidak dibolosi kerana setakat ini, Selangor sudah dibolosi sebanyak enam kali dalam saingan liga.

Dalam aksi semalam, Selangor berjaya tampil dengan cemerlang ketika menewaskan Kedah apabila menjaringkan empat gol sekaligus mencatat tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Mukhairi Ajmal, Caion dan Nor Hakim Hassan menjadi wira pasukan apabila mencipta jaringan sekaligus membantu pasukan melonjak ke tangga ke-5 dalam carta Liga Super.

Selepas ini, Selangor akan berdepan Terengganu FC di tempat lawan. – MalaysiaGazette