Home Politik Melayu ‘hilang’ negara dan tanah air dalam tempoh 20 tahun – Tok...

Melayu ‘hilang’ negara dan tanah air dalam tempoh 20 tahun – Tok Him

Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Orang Melayu akan kehilangan buminya sendiri menjelang 20 tahun akan datang sekiranya tidak dijaga dan pelihara dengan baik, tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Beliau menegaskan, berdasarkan kealpaan pemerintah dalam mempertahankan Perlembagaan yang memberi hak keistimewaan kepada orang Melayu nescaya  majoriti Melayu akan senasib dengan bangsanya di Singapura.

“Saya percaya, 20 tahun akan datang, orang Melayu akan hilang buminya di Malaysia, orang Melayu di Malaysia akan jadi orang Melayu Singapura dan Melayu Pulau Pinang.

“Saya pernah sebut sebelum ini mengenai sejarah umat Palestin dan kita tengok di lain negara bagaimana sesetengah rakyat menjadi pelarian dan di Malaysia ini adalah satu-satunya negara orang Melayu di dunia.

“Malaysia saja negara Melayu di dunia, kalau Indonesia dipanggil bangsa Indonesia, tapi kita di Malaysia ini negara Melayu walaupun nama Malaysia, yang mana dahulunya Persekutuan Tanah Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau meninggalkan persoalan, dengan penduduknya majoriti 70 peratus orang Melayu dan kaum peribumi, apakah bangsa itu dan anak cucunya akan selamat 20 tahun akan datang?

“Kita tengok tanah kepunyaan orang Melayu dan kaum peribumi mula mengecil, bandar-bandar walaupun melebar, bukan kepunyaan harta milik orang Melayu, malah di desa juga bila dibangunkan bangunan rumah kedai juga bukan milik orang Melayu. Orang Melayu makin tersepit.

“Bila saya bercakap begini, saya dituduh rasis, saya dituduh seperti katak bawah tempurung, saya tidak bersikap liberal, tidak ikut peredaran zaman, sebab masa ini masa kononnya Malaysia untuk semua, Malaysia Malaysian. Hak kesamarataan.

“Wahai kaum ku umat muslimin dan muslimat, janganlah terperangkap, tolonglah, bangkit, insaf. Jom kita bersatu, kita kena selamat bangsa kita ini,” ujar beliau.

Dr. Ibrahim berkata, pahlawan Melayu Hang Tuah pernah mengatakan Melayu tak hilang di dunia dan itu betul tetapi Melayu hakikatnya sudah tidak ada.

Katanya, sebab itu pada tahun 2008, beliau menubuhkan sebuah pertubuhan NGO bernama Perkasa yang sehingga kini sudah berusia 13 tahun.

“Saya dan NGO ini terus menjana perjuangan untuk menegakkan, memartabatkan Islam Melayu sehingga dituduh rasis oleh pihak tertentu termasuk orang Melayu sendiri. Dashyat.

“Manakala bangsa lain yang memperjuangkan kepentingan bangsa mereka, tidak dituduh rasis, bangsa yang memperjuangkan bangsa mereka juga tidak dituduh rasis, tetapu mereka tuduh saya yang rasis.

“Perkasa bukan hipokrit, saya tidak hipokrit dalam isu ini dan saya tidak melaung hidup Melayu, hidup Islam dalam perhimpunan parti, dalam ucapan atau di mana-mana juga, tetapi apa yang berlaku ada parti Melayu menggadai kepentingan bangsa dan maruah sendiri,” katanya.

Beliau meluahkan perasaan bimbang dan takut dengan perkara itu selepas melihat kepada perkembangan beberapa tahun kebelakangan ini sehingga sekarang mengenai nasib Melayu di bumi sendiri.

“Ada kala bila saya termenung seorang diri, keluar juga air mata. Ikhlas saya bercakap iaitu apa akan jadi kepada kita orang Melayu 20 dan 25 tahun akan datang atau lebih singkat lagi 10 dan 15 tahun akan datang.

“Justeru, saya ingin mengajak seluruh umat Islam bermuhasabahlah kita, jangan sampai kepada peringkat keluar air mata darah sekalipun nanti, tidak berguna lagi, anak cucu kita merempat di bumi sendiri,” katanya.

Dr. Ibrahim yang merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) menegaskan, apabila beliau mempertahankan asas perlembagaan Fasa 151, 152, 153 dan sebagainya bukan hendak menindas bangsa lain.

Malah, beliau hendak memperkasakan asas perlembagaan supaya bangsa Melayu selamat, tetapi ada pihak hendak merubah dan merobeknya dengan memperkenalkan dasar kesamarataan, kepelbagaian budaya dan bangsa.

“Biarlah apa orang nak kata pun, betapa kolotnya saya ini. Nak tuduh saya rasis, tuduhlah, saya tidak mahu lihat bangsa kita orang Melayu jadi seperti bangsa Palestin.

“Betul, Melayu tak hilang di dunia, tetapi Melayu boleh hilang bumi yang dipijaknya, Melayu boleh hilang negara sebagaimana Melayu hilang negara Temasik yang bernama Singapura sekarang ini.

“Oleh itu, di bulan Ramadan Al Mubarak ini insaflah kita, saya juga orang politik, tetapi saya tidak bermain politik untuk mengejar kuasa dan pangkat atau harta benda,” katanya.

Katanya, beliau masuk gelanggang politik kerana memperjuangkan agenda bangsa Melayu dan Islam, sebab itu melalui jalan sukar, menempuh onak, duri, menongkah arus dan tidak mencari jalan mudah.

“Kerana apa? Kerana saya insaf, tidak ada pihak yang berani, lantang menyuarakan mengenai dengan masa depan nasib bangsa kita ini.

“Tak tau lagi apa yang saya nak cakap, rasa nak menitis air mata ini mengenangkan bangsa kita, bangsa yang menjadi ketuanan bagi bumi Malaysia ini yang dulu Persekutuan Tanah Melayu.

“Namun, pada saya, biarlah kita menongkah arus, biarlah kita bergantung, berpaut pada sebatang lidi, asalkan bangsa kita selamat, tetapi saya nampak bangsa kita tidak akan selamat,” ujarnya.

Walaupun Malaysia kaya raya dengan hasil bumi, minyak dan gas, kelapa sawit dan getah serta bahan galian, dengan jumlah rakyat tidak ramai, tetapi bangsa lain juga hidup senang lenang.

Bertambah sedih melihat orang Melayu mendiami rumah PPRT, duduk dalam reban ayam sedangkan bangunan mencakar langit didiami bangsa lain. – MalaysiaGazette