KUALA LUMPUR – Nicky Liow, ahli perniagaan yang menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes jenayah terancang pengubahan wang haram lebih setahun lalu akhirnya ditangkap polis hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Komisioner Datuk Mohd Kamarudn Md Din yang mengesahkan perkara itu berkata, Nicky, 34, yang juga pengasas Winner Dynasty Group ditahan lebih kurang 11 pagi tadi oleh pasukan JSJK Bukit Aman.
“Penama Lioq Soon Hee@Nicky Low ditangkap JSJ Komersial selepas dia sendiri datang menyerah diri secara sukarela kepada polis hari ini.
“Nicky Low akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pada 12 April 2022 untuk menghadapi 26 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya dalam kenyataan ringkas yang di keluarkan hari ini.
Tambah beliau, atas arahan Jabatan Peguam Negara Malaysia, pada 23 Mac 2022 JSJK telah memfailkan pertuduhan ke atas Nicky Low di bawah Seksyen 4(1)(a) akta yang sama di Mahkamah Shah Alam.
Kemudian polis berjaya memperoleh waran tangkap ke atas penama tersebut untuk tindakan lanjut.
Nicky diburu selepas Polis Johor mengadakan operasi dan serbuan berasingan di Puchong, Selangor, sebelum menahan 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri.
Sindiket itu sebelum ini disyaki terbabit dalam pelbagai jenis kes penipuan dalam talian.
Pada Mac tahun lalu, polis menahan 68 individu dipercayai ahli kumpulan Liow, selain merampas 16 kenderaan mewah termasuk Rolls Royce dan mata wang asing berjumlah lebih RM7 juta dalam 70 serbuan.
Nicky juga pernah ditahan atas dakwaan mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, lima tahun lalu.
Nicky juga menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas – MalaysiaGazette