Home Nasional Shahidan jamin tiada pengusiran penduduk di Sungai Baru

Shahidan jamin tiada pengusiran penduduk di Sungai Baru

Shahidan Kassim

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan tiada pengusiran dilakukan ke atas penduduk Pangsapuri Sungai Baru di Kuala Lumpur, ketika bulan Ramadan ini.

Ini kerana, rundingan dengan penduduk akan diteruskan bagi mencari titik penyelesaian berhubung kemelut itu.

“Tidak, siapa kata kena pindah bulan Ramadan, tidak. Ini adalah tafsiaran yang dikeluarkan pelbagai pihak…jadi kena ingat dalam Islam ini benda yang tak benar disebarkan hukumnya haram, tak baik.

“Termasuk pemberita yang menyebarkan berita tanpa melihat surat. Itu surat makluman bukan notis. Tidak akan berlaku perpindahan dalam bulan puasa, tidak mungkin berlaku.

“Mana mungkin kita keluarkan notis suruh mereka pindah sebelum raya,” katanya kepada media selepas Program Nur Ramadan bersama Sukarelawan Misi Bantuan Banjir, Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah laman portal yang menyiarkan berhubung dakwaan penduduk Pangsapuri Sungai Baru yang terkejut selepas menerima Borang K (notis pengosongan rumah), baru-baru ini.

Dalam laporan itu seorang wakil penduduk memberitahu, ada antara mereka yang masih belum menerima pampasan sepenuhnya tetapi tetap diminta untuk mengosongkan rumah.

Lebih mengejutkan mereka apabila borang itu diterima ketika umat Islam kini sedang menyambut Ramadan dan bakal meraikan Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, tiada sebarang notis arahan perpindahan dikeluarkan, sebaliknya hanya terdapat surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung pengambilalihan tersebut.

Tambahnya, rundingan antara pemaju dan penduduk akan berlangsung esok bagi memboleh kerjasama dapat dibentuk dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Yang keluarkan surat PTG, semua pengambilan tanah libatkan PTG. Mereka keluarkan surat bukan notis.

“Mereka penduduk Wilayah, kita teruskan rundingan dengan pemaju dan penduduk. Esok ada pertemuan antara pemaju dan penduduk,” ujarnya. – MalaysiaGazette