GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang mensasarkan kereta model lama, motosikal dan lori di sekitar negeri ini, Kedah serta Perak.
Kegiatan sindiket yang aktif sejak awal Januari lalu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki di susur keluar Kubang Semang, Seberang Perai Tengah bersama sebuah lori curi pada 2 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, susulan tangkapan itu pihak polis menahan lima lagi lelaki di sekitar Bedong, Kedah pada 7 April manakala dua lagi suspek ditahan di Baling pada keesokan hari.
Jelas beliau, secara keseluruhan seramai sembilan suspek berusia lingkungan 31 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi tersebut.
Kata Fisol, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah mencuri kenderaan lama dengan menggunakan master key sebelum diserahkan kepada ahli kumpulan yang bekerja sebagai mekanik.
“Mekanik tersebut dikatakan akan meleraikan serta mecanaikan nombor casis kenderaan serta motosikal yang dicuri sebelum dijual sebagai alat ganti kenderaan lain.
“Dalam operasi tersebut, pihak polis berjaya merampas semula kenderaan yang dilaporkan hilang iaitu tiga buah lori, tiga buah kereta, lima motosikal serta sebuah enjin kereta yang sudah dileraikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Turut dirampas dua pucuk pistol tiruan, sepasang gari bersama anak kunci, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama serta enam rangkai kunci kenderaan.
Tambah beliau, hasil siasatan lanjut juga mendapati sindiket mensasarkan kenderaan di sekitar Pulau Pinang, Kedah serta Perak.
“Tangkapan sindiket ini berjaya menyelesaikan 18 kes curi kenderaan yang dilaporkan berlaku di tiga negeri termasuk Pulau Pinang.
“Semakan juga mendapati kesemua sembilan suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
“Selain itu, saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah,” ujar Fisol.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Fisol berkata, pihaknya juga sedang mencari ahli sindiket yang dikenali sebagai M. Sanjev bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette