Home Politik Syed Saddiq pernah nasihatkan rakan Bersatu jangan ‘tikam’ PH

Syed Saddiq pernah nasihatkan rakan Bersatu jangan ‘tikam’ PH

MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Johor state election
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau pernah menasihatkan rakan-rakannya di dalam Bersatu supaya tidak ‘menikam rakan’ ketika mereka mahu keluar daripada Pakatan Harapan (PH)

Dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, selepas kekalahan beberapa pilihan raya kecil ada beberapa pihak dalam Bersatu mula percaya jika mereka tidak keluar PH, parti itu lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.

“Prinsip saya kekal walaupun kita tewas, lebih baik kita tewas di tangan rakyat kerana jawatan menteri, ahli Parlimen itu hanya sementara dan biarlah kita kalah tetapi bermaruah daripada kita menang dengan membelangkangkan mandat rakyat.

“Pada peringkat tersebut, saya ingat dan nasihatkan sahabat-sahabat saya apabila kita menikam kawan, akhirnya kita juga akan ditikam dan sejarah membuktikan yang menikam ditikam semula.

“Saya kongsikan ini bukan kerana saya mahu memperlekehkan sahabat-sahabat yang lama tetapi sekadar untuk mengingatkan ahli politik muda dan mereka yang mahu menyertai politik pada masa akan datang,” katanya.

Mesyuarat Khas Parlimen hari ini membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Antilompat Parti dibentang, dibahas dan diluluskan.

Syed Saddiq berharap dengan adanya akta lompat parti sejarah hitam yang dilaluinya tidak akan berulang.

Menurut Syed Saddiq beliau mahu semua pihak mengangkat politik yang matang, bermaruah tidak ugut mengugut dan tawar menawar.

Ini kerana akhirnya kuasa terletak di tangan rakyat dan akan dikembalikan semula kepada rakyat dan bukan bergantung pada segelintir elit politik.

“Kepada mereka yang sudah diugut, pernah diugut dan akan diugut nasihat saya berani kerana benar kerana kita hanya kenderaan kepada aspirasi rakyat.

“Dan kepada mereka yang mengugut bertaubatlah kerana akhirnya kuasa Allah dan kuasa rakyat itu jauh lebih besar dan akhirnya timbal balas itu tidak datang daripada manusia tetapi akan datang juga,” kata Syed Saddiq. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sebenarnya masa lama ppbm a mbil masa untok tinggal ph Mahadir sengaja pura2 tak tahu. Padahal dia boleh sekat atau hebah kan alam majlis Presiden tentu perkara ini boleh diatasi . Tapi dendam lama bersarang dihati tun dia biarkan lembu masuk kebun rosakkan tanaman akhirnya semuanya musnah .

Comments are closed.