Home Seni Hidup Tradisi kejut sahur kekal di Taman Setia sejak 40 tahun dulu

Tradisi kejut sahur kekal di Taman Setia sejak 40 tahun dulu

Penduduk flat mengelilingi sekitar kawasan flat dengan menggunakan alat muzik seperti tong, spoket moto dan tamborin bagi memanggil penduduk yang berumat islam untuk bangun bersahur pada bulan Ramadan di Flat Taman Setia Balakong, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR –  Jarang kita dengar ada tradisi kejut sahur di kawasan perumahan di Lembah Klang.

Biasanya budaya sebegini acap dilihat di kampung-kampung terutama  di kawasan yang majoritinya beragama Islam sepanjang Ramadan.

Rupa-rupanya di Taman Setia Balakong dekat sini budaya berkenaan sudah bermula sejak empat dekad lalu dan diwarisi dari generasi ke generasi.

Salah seorang anak muda di taman berkenaan, Asrar Sulaiman, 18, yang lebih dikenali sebagai Acan berkata, Ramadan kali ini merupakan tahun ketiga beliau menyertai komuniti  menjalankan aktiviti kejut sahur bagi memeriahkan Ramadan.

“Tujuan kita kejut sahur supaya orang tak bangun lambat. Hasilnya apabila penduduk bangun, turun tengok kami, rasa bahagia yang sukar digambarkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Asrar Sulaiman. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.Apa yang menarik, jika dahulu aktiviti kejut sahur hanya menggunakan kompang atau gendang namun kini pelbagai cara dan kreativiti mereka ‘buat bising’ sehingga menimbulkan keseronokan tersendiri.

“Kami hanya gunakan peralatan yang kami ada sahaja termasuk spoket motor kadang-kadang batang shaft tayar,” kata Acan.

Penduduk flat mengelilingi sekitar kawasan flat dengan menggunakan alat muzik seperti tong, spoket motor dan tamborin bagi memanggil penduduk yang berumat islam untuk bangun bersahur pada bulan Ramadan di Flat Taman Setia Balakong, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 APRIL 2022.

Keputusan secara bersama yang dibuat kumpulan anak muda itu menggunakan peralatan terpakai berbanding alat muzik tradisional adalah untuk mencipta kelainan setiap tahun.

Tahun ini, mereka turut menggunakan tong simpan air berwarna biru yang diubahsuai di atas troli kayu untuk memudahkan pergerakan manakala alat pembesar suara pula diletakkan di atas kereta sorong.

Salah seorang penduduk flat melakukan persiapan bagi memanggil penduduk yang berumat islam untuk bangun bersahur pada bulan Ramadan di Flat Taman Setia Balakong, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 APRIL 2022.

Ketika MalaysiaGazette mengikuti aktiviti yang bermula tepat pukul 4 pagi, penduduk keluar dari kediaman masing-masing, bahkan ada yang mendukung anak kecil menyaksikan perarakan itu.

Salah seorang penduduk, Norazwati Mahadzir, 27, meluahkan kegembiraan melihat kemeriahan yang bersambung semula selepas hampir dua tahun terhenti ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

“Mereka tak mengganggu pun. Sebab memang daripada dulu lagi macam ni. Anak saya ni pun menangis minta dibawa keluar untuk melihat mereka,” katanya ketika ditanya jika bunyi bising  menganggunya bersama anaknya yang berusia satu tahun.

Norazwati Mahadzir. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.

Mahfud Awam, 68, juga meluahkan perkara sama. Beliau yang mendiami flat Taman Setia Balakong sejak kawasan itu merupakan penempatan setinggan menyambut baik usaha generasi muda itu mengejutkan penduduk bangun sahur.

“Generasi dahulu ada yang sudah tiada, ada yang sudah berkahwin, sekarang tinggal generasi muda. Tiada orang yang marah pun. Kalau tiada ketuk-ketuk macam ini, kadang ada penduduk terlambat bangun sahur. Sebab di sini pukul 4 sudah bangun masak,” jelasnya.

Mahfud Amar  Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.

Difahamkan, sekiranya hujung minggu atau cuti umum pada masa Ramadan, suasananya lebih meriah kerana lebih ramai anak-anak muda turun bersama menjayakan aktiviti kejut sahur.

Bagaimanapun, aktiviti kejut sahur yang dijalankan Acan bersama rakan-rakan dan penduduk di sini sepanjang bulan Ramadan dihentikan jika terdapat kematian. – MalaysiaGazette