CAPE TOWN – Seorang bekas banduan yang baharu dilantik sebagai datuk bandar sebuah majlis perbandaran Afrika Selatan berikrar untuk melepaskan gajinya dan istimewaan-istimewaan lain.
Dalam ucapan sulungnya, Gayton McKenzie dari Parti Perikatan Patriotik (PA) berkata, tiada apa-apa pun dari daerah Karoo Tengah akan dibelanjakan untuk dirinya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Ini termasuk tidak mahu mempunyai kenderaan dan pengawal peribadi untuk datuk bandar.
Malah, McKenzie menggunakan duitnya untuk membayar makanan yang dimakan pada majlis pelantikannya lapor media tempatan.
”Saya tidak akan mempunyai kenderaan datuk bandar. Kenderaan datuk bandar mesti dijual dan ambulans mesti dibeli dengan wang tersebut.
“Saya tidak akan menuntut sebarang petrol atau perbelanjaan. Saya tidak mahu perbandaran ini menanggung kos,” katanya.
McKenzie mengesahkan ikrarnya itu menerusi Twitter dengan menambah, “pembayar cukai telah menjaga saya di penjara, saya bebas sekarang”.
Dalam pada itu, beliau berjanji untuk mempergiatkan usaha menentang pendatang haram.
Dia menjalani tujuh tahun daripada 15 tahun yang dikenakan atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata selepas ditangkap pada 1996.
Dia dibebaskan dari penjara pada 2003. – Agensi