KUALA LUMPUR – Isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja dan ketum untuk tujuan perubatan di Malaysia akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat Kabinet.
Kaukus Medical Cannabis berkata, Perdana Menteri telah memberi respons yang positif dalam isu-isu berkaitan industri tersebut ketika pertemuan rasmi yang diadakan hari ini.
Katanya, industri itu adalah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh banyak negara-negara luar dan lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan.
Malah, nilai pasaran industri itu mencecah RM60 bilion dan negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri berkenaan untuk kegunaan di negara mereka.
“Kaukus Medical Cannabis percaya Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar dalam industri ini untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan mampu memberi manfaat besar kepada negara,” demikian menurut kenyataan itu.
Sementara itu katanya, Kaukus Medical Cannabis juga membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.
Jelasnya, pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan rasmi yang diadakan.
Kaukus Medical Cannabis adalah jalinan kerjasama dwi-partisan antara ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Keanggotaan kaukus yang merentas banyak parti ini percaya banyak langkah boleh diambil kerajaan berkaitan isu ini. – MalaysiaGazette