KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada bulan Februari 2022 bernilai RM184.8 bilion (meningkat 17.5% tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM102.3 bilion (meningkat 16.8% tahun ke tahun) dan import bernilai RM82.5 bilion (meningkat 18.4% tahun ke tahun).
Dalam satu kenyataan pada hari ini, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, import juga meningkat RM12.8 billion (+18.4%) pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang (+RM3.1 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion), Johor (+RM1.7 bilion), Kedah (+RM1.5 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Kuala Lumpur (+RM972.5 juta), Pahang (+RM806.6 juta), Terengganu (+RM578.3 juta), Negeri Sembilan (+RM449.2 juta), Sabah (+RM273.5 juta) dan Perlis (+RM18.2 juta).
Walau bagaimanapun, import menurun di Melaka (-RM563.5 juta), Perak (-RM452.4 juta), Kelantan (-RM57.0 juta) dan Labuan (-RM5.6 juta).
Beralih kepada prestasi eksport mengikut negeri, eksport pada bulan Februari 2022 meningkat sebanyak RM14.7 bilion (+16.8%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.7 bilion), Sarawak (+RM3.0 bilion), Kedah (+RM2.2 bilion), W.P. Labuan (+RM1.6 bilion), Selangor (+RM1.5 bilion), Sabah (+RM1.2 bilion), Johor (+RM1.1 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.0 bilion), Pahang (+RM103.8 juta) dan Perlis (+RM23.9 juta).
Bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM1.2 bilion), Perak (-RM1.1 bilion), Terengganu (-RM320.2 juta), Kelantan (-RM199.5 juta) dan Negeri Sembilan (-RM31.7 juta).
Mohd Uzir menambah, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (23.1%), Johor (20.2%), W.P. Kuala Lumpur (7.1%) dan Kedah (6.2%).
Sementara itu, bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.6 peratus, diikuti oleh Selangor (19.3%), Johor (18.7%), Sarawak (8.2%) dan Kedah (4.8%).
Dalam pada itu, katanya, sebagai persediaan kepada permintaan semasa bulan Ramadan, Malaysia telah mula mengimport kurma beberapa bulan sebelum Ramadan bagi memenuhi keperluan penduduk.
Import kurma bernilai RM48.1 juta pada Februari 2022.
Di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan import tertinggi bagi kurma bernilai RM20.3 juta (42.2%), diikuti Selangor (RM15.0 juta, 31.1%) dan Kuala Lumpur (RM6.9 juta, 14.4%). – MalaysiaGazette