Home Ekonomi Kuskop sokong Angkasa tubuh bank digital

Kuskop sokong Angkasa tubuh bank digital

Noh Omar

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop) menyokong usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menubuhkan bank digital.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, permohonan Angkasa mendapatkan kelulusan lesen tersebut diharapkan mendapat pertimbangan Bank Negara Malaysia/

“Saya dimaklumkan Angkasa salah satu pihak yang memohon untuk memulakan bank digital dan saya harap Bank Negara boleh beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Semarak Jubli Emas Angkasa dan Sambutan 100 Tahun Koperasi di Wisma Ungku A. Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Noh berkata, usaha itu selari dengan Revolusi Industri 4.0 yang menjadikan urusan dalam talian sebagai satu keperluan pada masa kini.

“Usaha ini selari dengan pembangkitan Revolusi Industri 4.0 dan ini menunjukkan Angkasa memberi nafas baharu kepada gerakan koperasi dalam negara kita,” ujarnya.

Sementara itu, Noh mengulas, penubuhan Koperasi Kariah Masjid juga mampu meningkatkan ekonomi komuniti setempat sekaligus dapat mengimarahkan pusat ibadat.

“Penubuhan ini boleh selesaikan masalah barangan halal yang jadi kegusaran masyarakat Muslim di negara kita, malah fungsi masjid juga dipelbagaikan menjadi pusat sosiekonomi setempat,” katanya. – MalaysiaGazette