SEPANG – Kesemua 16 rakyat Malaysia yang ditipu sindiket penipuan di Kemboja didakwa didera termasuk dikenakan renjatan elektrik sekiranya cuba melarikan diri.
Peguam yang mewakili mereka, Heng Zhi Li berkata, anak-anak guamnya didakwa dikawal oleh ahli sindiket bersenjata apiĀ sejurus selepas mendarat di negara tersebut termasuk menggunakan laluan tidak diwartakan (laluan tikus).
Selain itu, mereka juga didakwa dikurung, disepak, dipukul serta ditampar berkali-kali.
Katanya, salah seorang daripada 16 rakyat Malaysia iaitu lelaki berusia 18 tahun telah dibebaskan dengan oleh sindiketĀ emak mangsa yang berasal dari Kepong membayar wang tebusan RM18,000 yang dituntut sindiket berkenaan di Kemboja.
Menurut Zhi Li, MCA banyak menerima kes rakyat Malaysia terkandas di luar negara sejak tahun 2021 terutamanya semasa dalam pandemik Covid-19 kerana ketika itu mereka tertarik dengan jerat sindiket berkenaan yang menawarkan pendapatan lumayan.
“Namun pada kes kita, mereka mempunyai permit yang dianggap sah sedangkan sindiket yang menawarkan kerja mencipta dan menyediakan permit kerja palsu dari Kemboja untuk meyakinkan mangsa seolah ia permit sah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini..
Tambah Zhi Li, kesemua 15 mangsa yang terperangkap telah menghubungi MCA pada awal Januari tahun ini sebelum pihaknya mendapatkan segala maklumat dan petunjuk seperti Sistem Kedudukan Global (GPS) serta lokasi dikurung selain petunjuk seperti gambar bangunan serta nama agensi terlibat.
Kemudian jelasnya, segala maklumat diserahkan kepada Majlis Anti Pemerdagangan Orang untuk siasatan lanjut sebelum dalam masa dua minggu dengan kerjasama polis Kemboja berjaya melancarkan operasi menyelamatkan mereka.
Ditanya sejak bila kesemua mangsa diperangkap oleh sindiket itu di Kemboja, Zhi Li menambah, mereka pergi ke Kemboja secara berperingkat bermula September tahun lepas.
“Dalam operasi menyelamatkan kesemua mangsa, mereka telah diugut oleh sindiket itu supaya menukar kenyataan kepada pihak berkuasa tetapi saya meminta mereka supaya tidak takut dan kekal dengan pendirian asal mereka yang ditipu dan dianiaya disana sebelum diselamatkan.
“Oleh kerana mangsa semua kelihatan sangat letih dan lesu pada hari ini kerana terpaksa transit di Singapura selama sehari, saya merasakan tidak sesuai untuk memaksa mereka berdepan media dan memberi kenyataan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MCA akan menyediakan saluran untuk mereka dan ahli keluarga membuat aduan jika terkesan waris mereka terjerat di luar negara bagi menyelamatkan mereka.
“Sindiket judi dan penipuan scam dalam talian ini bukan sahaja dioperasikan di Kemboja tetapi menyasarkan serata dunia apabila menggunakan sistem rekrut ahli dengan meminta seseorang yang sudah bekerja dengan mereka untuk merekrut rakan kenalan di negara sendiri untuk diheret ke dalam aktiviti perjudian haram dalam bangunan,” tegasnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: