Home Seni Hidup MPK laksana kempen kurangkan kompaun letak kereta

MPK laksana kempen kurangkan kompaun letak kereta

Logo Majlis Perbandaran Klang

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan kempen pengurangan kompaun letak kereta dengan kadar serendah RM15 melibatkan pelbagai kesalahan trafik.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, kempen yang bermula semalam hingga 30 April itu memberi peluang kepada orang awam untuk menjelaskan tunggakan saman.

Bagaimanapun beliau berkata, kempen itu tidak termasuk kesalahan meletak kereta di petak khas, orang kelainan upaya atau kesalahan membabitkan halangan di petak letak kereta.

“Orang ramai digesa merebut peluang keemasan ini sebelum tawaran tamat hujung bulan ini,” katanya menerusi kenyataan.

MPK turut menawarkan pembayaran secara dalam talian menerusi JomPay (Biller Code: 84277), aplikasi Smart Parking MPKlang, mesin i-Kiosk (di lobi ibu pejabat MPK) dan ipay.mpklang.gov.my.

Selain itu, pembayaran secara terus juga boleh dibuat setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 4 petang di lobi Ibu Pejabat MPK, MPK Tengku Kelana, MPK Jalan Raya Barat dan MPK Kompleks Pasar Besar Jalan Meru.

Kaunter pembayaran turut dibuka di Pasaraya Giant Bukit Tinggi Klang setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 10.30 pagi hingga 4 petang.

Semakan kompaun boleh dibuat melalui laman sesawang MPK iaitu ipay.mpklang.gov.my/home/kompaun dan aplikasi Smart Parking MPKlang. – MalaysiaGazette