Home Nasional PDRM kenal pasti dokumen, keterangan bagi siasatan ke atas Tawfiq

PDRM kenal pasti dokumen, keterangan bagi siasatan ke atas Tawfiq

Datuk Kamarudin Md Din. Foto FAREEZ FADZIL, 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura dalam mendapatkan bahan bukti dan soal siasat dakwaan penglibatan Datuk Dr. Tawfiq Ayman dalam kes 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, perbincangan dengan CAD Singapura  telah berlangsung pada 29 hingga 31 Mac 2022.

Katanya, CAD telah memberikan kerjasama penuh kepada PDRM sepanjang proses perbincangan itu dan juga dalam mendapatkan bahan bukti dan soal siasat melibatkan saksi dari negara republik jiran itu.

“Hasilnya pasukan penyiasat telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan.

“Bagaimanapun, bagi memastikan dokumen dan keterangan tersebut boleh diterima di mahkamah, ia perlu melalui proses ‘Mutual Legal Assitance’ (MLA) yang akan dikendalikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, PDRM telah menjalankan siasatan penuh dalam kes tersebut.

Malah, kertas siasatan berkaitan kes ini sudah dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut dari sudut perundangan MLA membabitkan kedua-dua negara.

Sebelum ini, beberapa saksi di Singapura sudah bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes membabitkan Tawfiq.

Sebelum itu, Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan bahawa dia tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapapun.

Kenyataan itu menyusul selepas keterangan diberikan oleh Tim Leissner, bekas pengarah  Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan berkata, kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq dalam projek usaha sama PetroSaudi-1MDB. – MalaysiaGazette