Home Nasional PDRM tak pernah tawar-menawar dalam kes Nicky Liow

PDRM tak pernah tawar-menawar dalam kes Nicky Liow

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Kamarudin Md Din bercakap pada sidang media mengenai penubuhan 'CCID Scam Response Center' di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah membuat sebarang rundingan ‘plea bargain’ dengan mana-mana pihak dalam siasatan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow yang telah menyerah diri semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, ssegala tindakan siasatan yang diambil PDRM dalam kes Nicky adalah telus dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

“PDRM tidak pernah membuat sebarang rundingan plea bargain dengan mana-mana orang dalam siasatan kes (Nicky Liow) ini.

“Kami juga tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak dalam siasatan ini dan arahan pertuduhan ke atas Nicky Liow juga dilaksanakan kali ini seperti mana telah diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan perkembangan terkini kes tersebut hari ini.

Dalam perkembangan sama kes Nicky, beliau menambah, sebelum ini pada 15 Mac 2021, PDRM telah memulakan siasatan terhadap Nicky  berkait penglibatannya dalam kes jenayah terancang/Sosma.

Susulan siasatan yang dijalankan pada 20 Mac 2021, sebanyak 68 serbuan telah dilaksanakan di sekitar Selangor bagi menahan Nicky dan ahli kumpulannya.

Hasilnya seramai 116 individu telah berjaya ditahan dalam serbuan tersebut namun penama Nicky  berjaya melarikan diri.

“Pada 9 April tahun lalu , seramai 15 orang ahli kumpulan Nicky telah dituduh di bawah Seksyen 130 V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor dan pada tarikh yang sama, Nicky turut dituduh di bawah kesalahan yang sama secara in absentia iaitu tanpa kehadirannya di mahkamah.

“Pada 30 September 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah melepaskan tanpa membebaskan Nicky bagi kes Jenayah Terancang/ Sosma ekoran permohonan dari Pejabat Peguam Negara bagi menunggu siasatan melibatkan kesalahan pengubahan wang haram (AMLA) dilengkapkan.

“Seterusnya, pada 23 Februari 2022, peguam yang mewakili Nicky telah memfailkan rayuan dan berjaya mendapat perintah dibebaskan dan dilepaskan,” ujar beliau.

Seterusnya, Kamarudin menambah, pada 8 Mac 2022, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan ke mahkamah rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Nicky.

Malah katanya, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Nicky melalui peguamnnya telah menghantar sepucuk surat kepada pihak polis dan menyatakan kesediaannya untuk menyerah diri.

“Pada 23 Mac 2022, 26 pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (ALMLATFPUAA) 2001 ke atas Nicky  bagi kesalahan pengubahan wang haram dan waran tangkap diperoleh bagi memastikan Nicky tidak terlepas dari sebarang pertuduhan .

“Rentetan itu, pada 11 April 2022, Nicky telah hadir untuk menyerah diri di pejabat JSJK Bukit Aman dan seterusnya telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette