KUALA LUMPUR – Pelakon popular Rita Rudaini meluahkan rasa sedih selepas menghantar anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin mendaftar di sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dipercayai di Negeri Sembilan, semalam.
Menerusi satu perkongsian video di aplikasi TikTok, dia mengakui tidak pernah berjauhan dengan anaknya yang berusia 13 tahun itu, sekali gus melalui momen sebak sehingga mengalirkan air mata.
“Saya ibu yang normal. Rasa sakit, rasa pedih itu dah biasa. Macam mana hujan lebat hari ni macam tau derasnya air mata saya hari ni. Air mata gembira bercampur dengan sebuah rasa.
“Rasa itu adalah rasa cinta, sayang, rindu. Kami tidak pernah berenggang, hari ni kami berjauhan. Mommy sedih sampai dada sakit,” tulis pelakon berusia 47 tahun itu.
Video berdurasi 32 saat tersebut memaparkan Rita memeluk erat anaknya sebelum ‘melepaskan’ remaja itu bagi menjalani kehidupan berdikari sebagai pelajar.
Bagaimanapun, pelakon filem Anak Mami itu berbangga dengan kejayaan Rayyan apatah lagi hanya dibesarkan oleh ibu tunggal tanpa kehadiran seorang bapa.
“Pada masa yang sama mommy gembira dengan anak yang hanya dibesarkan oleh ibu tunggal, melangkah setapak lagi ke hadapan.
“Mommy sentiasa menjadi sayap kiri dan kananmu. Fly high Airit Rayyan Rizqin,” katanya. – MalaysiaGazette