KUALA LUMPUR – Sistem e-Konsular yang yang menerima dan memproses permohonan Sijil Kelakuan Baik (SKB) telah pulih seperti biasa, kata kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri.
Menurut kenyataan itu, pemohon akan dapat menerima sijil tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Satu laporan akhbar tempatan telah menyebutkan bahawa masalah teknikal pada server sistem e-Konsular Kementerian Luar Negeri menyebabkan kelewatan pengeluaran SKB.
“Kelewatan ini sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal pada perkakasan sistem data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Namun, tindakan segera telah diambil dan langkah penyelesaian telah pun dipersetujui oleh Kementerian Luar Negeri dan PDRM dalam menangani kelewatan ini,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, langkah diambil itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang diperlukan oleh orang awam tidak terjejas.
Oleh itu, proses permohonan SKB kini kembali berjalan seperti biasa dan tempoh menunggu untuk kelulusan tidak melebihi satu hingga dua bulan seperti dinyatakan di sistem e-Konsular dan laman web kementerian.
Kementerian menasihatkan semua pemohon supaya memenuhi syarat dinyatakan di sistem e-Konsular agar SKB yang dipohon dapat dikeluarkan dengan sewajarnya. – MalaysiaGazette