Home MGNews Terpaksa caj upah potong sebab untung cuma 10 sen – Peniaga ayam

Terpaksa caj upah potong sebab untung cuma 10 sen – Peniaga ayam

MELAKA – “Tanpa caj upah potong 60 sen, peniaga cuma untung 10 sen untuk sekilogram ayam. Silap-silap, itu pun masih rugi,”.

Itu luahan peniaga ayam segar, Ghazali Abu Bakar, 48, mengenai tindakan peniaga di Pasar Awam Melaka di Bachang di sini yang mengenakan caj upah potong ayam standard pada kadar 60 sen sekilogram sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana harga siling runcit RM8.90 sekilogram ayam standard ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya memberi keuntungan 10 sen, malah mungkin merugikan jika berlaku kenaikan kos proses yang lain.

“Ayam lori hantar pun kami beli RM7, kos proses lagi sudah RM1.80, jadi jumlah kos dah naik jadi RM8.80, lepas tu nak jual RM8.90? Siapa nak berniaga kalau untung 10 sen, itu pun kalau untung.

“Jadi sebab itu, kami terpaksa juga fikirkan kaedah lain, malah KPDNHEP sendiri yang mencadangkan kami mengenakan upah potong agar peniaga tidak terus mengalami kerugian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ghazali Abu Bakar

Bagi peniaga Yunus Ambri, 40, walaupun dikenakan caj itu, masih ramai pelanggan memilih untuk memotong kena sudah terbiasa dan tidak kisah dikenakan caj berkenaan.

“Setakat ini, kalau ada 10 pelanggan, semua akan minta ayam dipotong walaupun pada mulanya bertanya sebelum ini waktu harga RM9.50 sekilogram, caj 60 sen itu tidak dikenakan.

“Namun setelah dijelaskan sebabnya, ramai juga yang simpati dan tidak kisah kerana harganya masih sama kekal seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, bagi pengguna, Hasniwati Hassan Basri, 65, berkata, dia tidak kisah dengan caj berkenaan kerana bukanlah wajib dan ianya adalah pilihan pengguna.

“Kalau nak mudah balik rumah terus basuh ayam dan masak, bayarlah upah pun cuma RM1.20 untuk seekor ayam bersaiz dua kilogram,” katanya.

Hasniwati Hassan Basri

Mengulas isu berkenaan, Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, caj 60 sen yang dikenakan peniaga itu tidak menjadi kesalahan.

“Ini kerana peniaga menawarkan servis tambahan pada harga tertentu dan masih mematuhi harga siling ditetapkan KPDNHEP.

“Konsepnya sama seperti kita beli gas memasak, kalau kita pegi kedai, harga dibeli masih mengikut harga siling, tapi kalau kita nak peniaga itu hantar ke rumah, tentulah ada upah dikenakan,” katanya.

KPDNHEP sebelum ini menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula 5 Februari lalu.

Harga tersebut akan kekal sehingga 5 Jun ini iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga makanan lain yang berkaitan.

Harga runcit RM8.90 itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember 2021 serta RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.- MalaysiaGazette