KUALA LUMPUR – Setiap pemimpin memainkan peranan masing-masing dalam semangat kerja berpasukan bagi menentukan sesuatu keputusan besar dalam PKR.
Calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, tiada satu pun keputusan besar dalam parti itu dibuat secara individu melainkan melalui musyawarah, kolektif dan konsensus.
“Untuk menentukan sesuatu keputusan besar dalam parti, penyatuan suara dirangkul melalui musyawarah dan diputuskan secara bersama apabila setiap pimpinan berperanan dalam semangat kerja berpasukan.
“Sebagai pemimpin, kita perlu ada sikap untuk bertanggungjawab terhadap keputusan yang dicapai dan saling mendukung kepada kebertanggungjawaban keputusan tersebut,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan pencabarnya, Rafizi Ramli yang menggesa calon dalam pemilihan PKR nanti khususnya Saifuddin untuk menjelaskan pendirian berkenaan hala tuju parti dan strategi serta gerak kerja bagi berdepan pilihan raya umum.
Rafizi dilaporkan berkata, dua perkara itu perlu dijadikan kayu ukur untuk anggota parti membuat pilihan nanti.
Saifuddin bertemu satu lawan satu dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden yang disandangnya. – MalaysiaGazette