Home Sukan Polis tidak pernah larang penyokong masuk stadium tonton perlawanan

Polis tidak pernah larang penyokong masuk stadium tonton perlawanan

murder case debt loan Bidor oil palm estate Perak Police Chief, Datuk Mior Faridalathrash Wahid students die of Covid-19 vaccine SMK Tasek Damai
Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis tidak pernah mengeluarkan arahan melarang mana-mana penyokong bola sepak Perak untuk masuk ke dalam stadium bagi menonton perlawanan.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata para penyokong dibenarkan masuk ke dalam stadium selagi memiliki tiket yang sah.

“Kita (polis) mana boleh hendak menghalang (penyokong bola sepak) menonton perlawanan. Kita hanya mengadakan pemeriksaan memastikan mereka (penyokong) tidak membawa benda-benda yang tidak dibenarkan seperti senjata api.

“Kita juga tidak pernah melarang para penyokong membawa gendang semasa menonton perlawanan tetapi sekiranya pihak (pengurusan) stadium mengeluarkan arahan (larangan membawa gendang), kita akan larang bawa masuk,” katanya.

Mior Faridalathrash bercakap kepada pemberita pada program pemantauan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan Program High Profile Policing Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan segelintir penyokong bola sepak Perak FC kononnya pihak polis melarang penyokong The Bos Gaurus masuk ke dalam Stadium Perak semasa perlawanan Piala FA antara Perak FC dan Kijang Rangers FC pada 31 Mac lepas.

Sementara itu, mengulas mengenai pelanggaran pematuhan SOP di bazar Ramadan, beliau berkata sebanyak 115 kompaun dikeluarkan kepada individu yang didapati tidak mematuhi SOP.

Katanya, gagal mengimbas MySejahtera merupakan kesalahan yang paling banyak dilakukan iaitu 91 kes diikuti tidak memakai pelitup muka serta peniaga tidak menyediakan Kod QR MySejahtera.

“Pihak polis tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap mereka yang gagal dan cuai mematuhi SOP,” katanya sambil menambah terdapat 106 bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negeri.- BERNAMA