Home Utama Saya guna sebahagian gaji dari 5 syarikat untuk lakukan amal jariah –...

Saya guna sebahagian gaji dari 5 syarikat untuk lakukan amal jariah – Zahid

The President of UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the defence proceeding of his Yayasan Akalbudi corruption trial. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 13 APRIL 2022.
The President of UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the defence proceeding of his Yayasan Akalbudi corruption trial. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 13 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu punca tercetusnya  idea menubuhkan Yayasan Akalbudi adalah untuk melakukan pelbagai aktiviti amal jariah dan kebajikan untuk masyarakat oleh pengasasnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri antara 2015 hingga 2018 memberitahu, allayarham bapanya yang juga seorang ustaz dan pengetua sekolah agama sentiasa berpesan kepadanya sejak kecil lagi untuk melakukan kebajikan apabila mampu.

Dengan penuh perasaan, kata Ahmad Zahid, bel dirinya sentiasa ingat pesanan bapanya supaya melebihkan kerja amal dan hanya menggunakan sedikit daripada gajinya untuk diri dan keluarga.

“Penubuhan Yayasan Akalbudi adalah dari cetusan idea saya sendiri ketika saya berkhidmat dalam dunia korporat di mana saya menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional dan Ketua Pegawai Eksekutif Kretam Holding Berhad, Tekala Corporation Berhad, Ramatex Berhad dan Seng Hup Berhad.

“Pada ketika itu, saya memperoleh pendapatan lebih kurang RM120,000 sebulan dan saya hanya menggunakan lebih kurang RM30,000 hingga RM40,000 bagi kegunaan diri dan keluarga saya, bakinya saya gunakan untuk sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan agama serta kebajikan.

“Atas dasar untuk melakukan kerja amal jariah dan agama inilah saya telah menubuhkan satu Yayasan Budi pada tahun 1997. Nama Yayasan Budi kemudiannya telah ditukar kepada Yayasan Akalbudi kerana nama Budi itu lebih kepada sumbangan amal jariah dan nama Akalbudi melibatkan pengertian yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan bertulisnya sepanjang 27 muka surat yang antara lain berkisar mengenai pendidikan dan kerjaya awalnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid, 69 sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Menurut Ahmad Zahid lagi, Yayasan Akalbudi itu bukan hanya terhad kepada penduduk Parlimen Bagan Datuk sebaliknya untuk semua golongan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengakui ada kerja-kerja amal yang dilaksanakan secara kerap untuk penduduk terpaksa dihentikan sementara apabila mahkamah bertindak membekukan akaun yayasan itu.

”Saya sudah tidak mampu lagi,” ujarnya.

Prosiding sedang bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette