SHAH ALAM – Kerajaan Selangor minta rakyat negeri ini memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakan usaha mengawal populasi anjing liar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, ini bagi mengelak negeri itu dan kawasan yang mempunyai populasi anjing yang tinggi berdepan dengan risiko penyakit rabies.
Katanya, kes melibatkan kematian seorang lelaki warga tempatan akibat penyakit rabies pada Isnin minggu lalu, membimbangkan kerajaan negeri yang kemungkinan akan menular sekiranya tiada kerjasama daripada penduduk.
“Kita hanya minta mereka beri kerjasama kepada pegawai PBT untuk menangkap anjing liar berkenaan.
“Semua PBT ada masalah kawal anjing kerana menghadapi kesukaran menangkap haiwan tersebut serta tidak dibenarkan menembak anjing liar atau sebagainya.
“Oleh itu, kawalan ke atas anjing liar ini banyak bergantung kepada kerjasama dengan rakyat,” katanya sebagaimana lapor Selangorkini, hari ini.
Kes yang dikesan minggu lalu itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), yang memaklumkan mangsa berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling itu, meninggal dunia di rumahnya pada 10 Mac lalu.
Mendiang dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bag spesimen otak didapati positif virus rabies.
Hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.
Menurut Dr. Siti Mariah, kerajaan negeri setakat ini tidak menyediakan sebarang peruntukan khas bagi menangani penyakit itu berikutan ia bukan bersifat endemik seperti demam denggi. – MalaysiaGazette