KUALA LUMPUR – Negera Jepun merupakan negara yang paling banyak diberi kelulusan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan tidak dikawal selia dengan jumlah 132 syarikat.
Ia diikuti Singapura (70), United Kingdom (46), Korea Selatan (38 dan Australia (19).
Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, negara ini menerima permohonan daripada 31 buah negara untuk sektor tersebut pada tahun lalu dan 2020.
Menurut beliau, KPDNHEP juga menerima 1,280 permohonan daripada 573 buah syarikat asing untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia meliputi peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman bagi tempoh sama.
Ujarnya, jumlah kumulatif modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat asing pada tahun tersebut ialah sebanyak RM11.383 bilion dengan 33,123 peluang pekerjaan telah diwujudkan di dalam pasaran tempatan.
Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP akan menambah baik prosedur permohonan syarikat asing menjalankan perniagaan di dalam negara dengan melaksanakan Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0.
Jelas Alexander, permohonan dalam talian ini akan memudahkan proses permohonan syarikat, sekali gus menarik minat lebih ramai pelabur asing untuk membuka banyak cawangan perniagaan dalam negara.
Dalam masa yang sama, kata beliau, sistem berkenaan mampu menampung dan mempercepatkan proses permohonan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Sebagai sebuah kementerian yang mengawal selia syarikat berkepentingan asing menjalankan perdagangan pengedaran di Malaysia, KPDNHEP sentiasa berusaha untuk menarik minat pelaburan asing di dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“KPDNHEP akan terus komited untuk membantu memudahcarakan proses permohonan supaya dapat menarik minat lebih ramai pelaburan asing yang berkualiti di bawah sektor ini untuk membuka perniagaan di Malaysia,” katanya lagi.- MalaysiaGazette