KUALA LUMPUR – Tiga buah premis di sekitar Jalan P Ramlee dan Bukit Jalil telah dikenakan tindakan penutupan serta-merta kerana beroperasi melanggar syarat lesen dalam satu operasi malam tadi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) akta yang sama kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran.
Tindakan sita terhadap 14 pelbagai peralatan muzik di premis-premis tersebut juga dilaksanakan melibatkan komputer riba, mixer, pembesar suara, spinner deck, gitar dan mikrofon.
Kesemua barang sitaan telah dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.
Menurut DBKL, operasi bermula dari jam 10 malam dan berakhir pada awal pagi.
Seramai 27 anggota penguatkuasa DBKl terlibat dalam operasi ini dan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette