KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) sedia memainkan peranan utama dalam menyatukan parti-parti pembangkang bagi menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Keputusan itu diambil dalam mesyuarat kepimpinan Amanah yang berlangsung petang ini.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, parti itu boleh berbincang dengan Pejuang untuk menjalinkan kerjasama dalam menewaskan BN.
Ini kerana parti yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sentiasa bersama pembangkang di dalam sebarang keputusan di Parlimen.
“Pejuang dia pembangkang. Sebarang undi kita lihat dalam Parlimen mereka bersama mengundi dengan Pakatan Harapan. Kita boleh berbincang dengan mereka,” katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Bersatu, Mohamad berkata, Amanah boleh bertemu dan berbincang dengan ‘sesiapa’ yang parti itu mahukan.
“Bersatu masih dalam Kerajaan. Bagaimanapun kita boleh bertemu dan berbincang dengan sesiapa, keputusan boleh diambil secara kolektif.
“Tapi sekarang Bersatu masih dalam Kerajaan bukan pembangkang,” katanya.
Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang membacakan kenyataan berkata, usaha menafikan Barisan Nasional (BN) berkuasa adalah matlamat terpenting parti itu dalam PRU-15.
Katanya, kemenangan BN akan memberikan implikasi terlalu buruk kepada negara dan rakyat.
“Amanah menyeru kepada semua parti pembangkang untuk mengambil pengajaran dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
“Dan memperbetulkan sikap dan pendekatan supaya strategi kemenangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Jangan benarkan kekalahan-kekalahan ini menyebabkan kita bersikap pesimis atau negatif tetapi sebaliknya mengambil pengajaran dan membetulkan kelemahan yang terserlah,” katanya.-MalaysiaGazette