Home Politik DAP hormati keputusan Kit Siang tolak jawatan mentor

DAP hormati keputusan Kit Siang tolak jawatan mentor

Secretary-General of DAP, Anthony Loke Siew Fook at a special news conference at the Headquarters of DAP, Kuala Lumpur. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 14 APRIL 2022
Secretary-General of DAP, Anthony Loke Siew Fook at a special news conference at the Headquarters of DAP, Kuala Lumpur. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 14 APRIL 2022. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – DAP menerima dan menghormati keputusan Lim Kit Siang yang menolak jawatan mentor parti yang ditawarkan kepadanya selepas sesi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, bulan lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri memaklumkan penolakan jawatan itu kepadanya pada Ahad lepas.

Beliau menegaskan, penolakan jawatan itu tidak bererti Kit Siang tidak bersetuju dengan barisan pimpinan DAP yang baharu sebaliknya veteran DAP itu menyatakan komitmen untuk terus menyokong dan membantu mereka sekiranya perlu.

“Kit Siang maklumkan kepada saya pada Ahad lalu yang beliau memutuskan untuk tidak menerima jawatan mentor parti.

“Pada masa sama, beliau secara jelas menyatakan memberi sokongan penuh kepada barisan pimpinan baharu DAP dan memberi apa jua panduan dan nasihat yang diperlukan daripadanya.

“Namun, Kit Siang berpandangan adalah lebih baik untuk beliau tidak memiliki sebarang jawatan rasmi dalam parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Kit Siang mengumumkan menolak jawatan tersebut dalam satu majlis makan malam bersama barisan pimpinan dan Ahli Parlimen DAP yang diadakan pada Selasa lalu.

Pada 20 Mac lepas, ketika berucap dalam Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, Kit Siang, 81, mengumumkan persaraan dalam bidang politik dan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan pemilihan parti itu, selepas 56 tahun bersama DAP.

Dalam pada itu Siew Fook yakin Kit Siang membuat keputusan itu demi kebaikan parti dan bukan disebabkan kritikan pihak tertentu.

Bahkan beliau yakin keputusan Kit Siang itu tidak memberi kesan terhadap kesatuan parti.

Jelasnya, penolakan itu tidak menjejaskan struktur pimpinan DAP kerana jawatan berkenaan tiada dalam Perlembagaan DAP, sebaliknya ia berstatus penasihat yang diberikan sebagai penghormatan kepada Kit Siang.

“Kami menghormati keputusan Kit Siang dan menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanannya kepada parti,” tambahnya. – MalaysiaGazette