MELAKA – Amalan bersedekah di bulan Ramadan diteruskan kedai serbaneka, DMmart, syarikat milik Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang mengagihkan 200 Beg Terkejut sepanjang Ramadan ini.
Pengarah Urusan Zurif & Sons Sdn Bhd, yang juga pemilik DMmart Bukit Beruang, Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, program kali pertama dianjurkan bermula Jumaat lalu itu sebagai tanda mengimarahkan lagi Ramadan yang penuh keberkatan.
“Kami terpanggil untuk mengagihkan 50 Beg Terkejut setiap minggu yang mengandungi barangan keperluan asas bernilai RM40 setiap satu secara pandu lalu tanpa melihat warna kulit dan agama sebagai penghayatan Ramadan.
“Pengagihan akan dilakukan bermula jam 2.30 petang setiap hari Jumaat menjadikan keseluruhan 200 Beg Terkejut akan diagihkan sepanjang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui media di DMmart Bukit Beruang, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Prof Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin dan Pengurus Yayasan DMDI Datuk Abdul Rahim Abu.
Mengulas lanjut, Azreen berkata, pemberian itu juga adalah hasil sumbangan daripada orang perseorangan dan pembekal-pembekal yang telah menyokong penubuhan DMmart sejak dua tahun lalu.
“Usaha di bawah Pogram DMmart & Komuniti -“Charity Begins at Home” ini juga secara tidak langsung memupuk semangat tolong menolong, sifat kemanusiaan dan mengeratkan silaturahim antara komuniti berbilang bangsa.
“Malah, kami juga mempelawa kepada orang ramai yang mahu bersama-sama menyumbang boleh datang atau menghubungi DMmart Bukit Beruang di talian 012-255 2534,” katanya. – MalaysiaGazette