GEORGE TOWN – Tiada anggota badan yang boleh digerakkan selain jari dan leher namun ia tidak menjadi penghalang buat dua beradik yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) menjana pendapatan sendiri.
Mohd Yassin Packer Mohd, 30, dan adiknya Norfarhana, 26, mampu meraih RM1,000 sebulan dengan hasil menjual buah potong di Bukit Dumbar, Jelutong di sini.
Menceritakan kehidupan mereka, Mohd Yassin berkata, mereka berdua disahkan mempunyai masalah genetik distrofi otot (muscular distrophy) pada usia lapan tahun.
Jelasnya, akibat daripada penyakit itu masing-masing mereka hanya mampu duduk di atas kerusi roda atau baring.
Bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat mereka berdua untuk meneruskan kehidupan daripada hasil pendapatan sendiri.
“Kami mengambil keputusan menjual buah untuk mengurangkan perbelanjaan ayah, selain daripada duduk sahaja di rumah dan mengharapkan ihsan orang ramai.
“Alhamdulillah kini saya dan adik sudah 10 tahun mengusahakan gerai jualan buah-buahan dengan bantuan peralatan yang diperoleh daripada Program 1Azam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Selain itu, saya juga mempunyai impian untuk memiliki gerai buah lebih selesa yang dilengkapi dengan kemudahan asas, selain ingin menubuhkan pusat khas bagi membantu rakan senasib,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Menurut Norfarhana pula, buah-buahan yang dijual itu akan dibersihkan dan dipotong ibunya, Sarifah Bee Abdul Jabar, 58, sebelum dijual pada harga RM2 setiap satu.
Jelasnya, dia dan abangnya akan menaiki kerusi roda elektrik ke gerai jualan buah seawal jam 9 pagi.
“Setiap hari kami hanya duduk di atas kerusi roda di pondok itu. Oleh kerana kami tidak boleh mengangkat tangan, pelanggan akan mengambil sendiri buah yang mahu dibeli.
“Kebanyakan mereka adalah pelanggan tetap serta sudah maklum dengan keadaan kami dan dengan jualan itu, dapatlah kami meraih pendapatan sehingga RM1,000 sebulan namun bergantung kepada keadaan cuaca.
“Bagaimanapun, pada bulan Ramadan kami menghentikan jualan dan mengharapkan pendapatan ayah yang bekerja di pusat cuci kereta semata-mata,” jelas Norfarhana.
Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan Presiden Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang, Mohd Arshad Abdul Rahman yang menyampaikan sumbangan.
Katanya, sumbangan itu diberikan susulan dua beradik terbabit tidak berniaga sepanjang Ramadan.
“Kita berikan sumbangan wang tunai bagi perbelanjaan bagi menyambut Aidilfitri, selain merancang mendapatkan gerai yang lebih selesa kepada dua beradik itu,” katanya.
Sementara itu, Sarifah Bee yang juga surirumah berkata, dia reda dengan keadaan dua anaknya itu namun berharap orang ramai memberi sokongan kepada golongan OKU supaya mereka tidak berputus asa serta menjalani kehidupan dengan baik. – MalaysiaGazette