Home Nasional Maqis rampas 3,000 kg gelatin lembu dari China

Maqis rampas 3,000 kg gelatin lembu dari China

Pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang merampas gelatin lembu dari China yang dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

BUTTERWORTH –  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk gelatin lembu dari negara China di Pelabuhan Dermaga Air Dalam di sini pada Isnin lalu.

Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasanya mendapati 3,000 kilogram gelatin lembu dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

“Kesemua barangan dagangan yang bernilai RM40,322 itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Gelatin lembu yang dirampas Maqis Pulau Pinang bernilai RM40,322.

“Perbuatan mengimport dagangan tanpa import permit Maqis yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, pihak bertanggungjawab dengan barangan dagangan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihak Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian (komoditi pertanian, ikan dan haiwan) yang diimport mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan

“Ia sekali gus bagi menjamin keselamatan makanan, bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette