Home Nasional MCA tawar bantuan guaman kepada Sam Ke Ting

MCA tawar bantuan guaman kepada Sam Ke Ting

Sam Ke Ting dipenjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lepas.

KUALA LUMPUR – MCA akan menawarkan bantuan guaman kepada Sam Ke Ting termasuk membantu wanita itu membuat rayuan bagi memastikan dia mendapat perbicaraan yang adil dan saksama, kata Pengerusi Biru Perhubungan Undang-Undang MCA, Datuk Tay Puay Chuan.

Tawaran itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Johor menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas seorang kerani selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lepas.

Ke Ting didakwa memandu secara melulu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang mengakibatkan kematian lapan remaja itu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar memerintahkan hukuman penjara ke atas Sam Ke Ting, 27, itu bermula semalam.

Wanita itu juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan.

Sebelum itu, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Ke Ting pada 28 Oktober 2019.

Bagaimanapun, pasukan pendakwaan, yang mana Peguam Negara ketika itu adalah Tan Sri Tommy Thomas, tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan memfailkan rayuan di mahkamah pada 10 November tahun itu memohon supaya pembebasan Ke Ting dibatalkan.

Susulan rayuan itu, Mahkamah Majistret sekali lagi melepas dan membebaskan Ke Ting.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi pada 12 Oktober 2021, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan kedua.

Mahkamah Tinggi bukan sahaja menolak keputusan terdahulu dua Mahkamah Majistret kali ini, malah tidak membenarkan penangguhan hukuman berkenaan selagi tidak menerima kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan.

Puay Chuan berkata, kedua-dua Mahkamah Majistret telah membuktikan bahawa wanita itu tidak memandu secara melulu dan mematuhi undang-undang jalan raya.

”Kami percaya undang-undang adalah adil dan akan melakukan segala usaha untuk membantunya dalam rayuannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette