KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan, mati mengejut dalam tahanan di lokap Balai Polis Kajang, dekat sini, semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata lelaki berusia 45 tahun itu, telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Beliau berkata, Orang Kena Tahan (OKT) itu tiada penjamin, dan ditumpangkan di Lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang, dekat sini, bagi tahanan reman.
“Semasa dalam perjalanan ke hospital, penolong pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga memaklumkan, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. – MalaysiaGazette