KUALA LUMPUR – Langkah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan kembali Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana penteri bukanlah jaminan untuk beliau kekal memegang jawatan itu pada masa akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpendapat, dalam politik apa sahaja boleh berlaku.
Menurutnya, selepas pilihan raya mungkin akan ada individu yang akan membuat sesuatu hingga akhirnya apa yang dihasratkan tidak tercapai.
“Tidak ada jaminan (Ismail Sabri jadi Perdana Menteri). Poster boy di Johor dulu siapa dia? Datuk Hasni (Hasni Mohamad) tak jadi pun, tapi kita doakan yang terbaiklah.
“Kita tak mahu bersangka buruk, kalau itu keputusan yang tujuannya baik akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk jadi perdana menteri pada PRU akan datang, kita sokong.
‘Kalau bukan Ismail Sabri siapa pun boleh jadi…dalam politik ni ramai orang bercita-cita tinggi semua berharap…macam saya, saya pun bercita-cita juga tapi taklah nak jadi perdana menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tajuddin turut mempersoalkan keputusan MKT berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun katanya, jika perkara yang disebut merupakan satu jaminan ia tidak menimbulkan sebarang masalah dan boleh disokong.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk, Seri Mahdzir Khalid yang mengulas keputusan itu menyifatkan ketetapan menamakan Ismail Sabri sebagai PM menunjukkan pucuk pimpinan parti terutama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan telah membuat keputusan tepat.
“Kita berterima kasih terhadap Datuk Seri Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid dan Timbalanya, Datuk Seri Mohamad Hassan kerana telah membawa perkara itu kepada MT.
“Ini membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa UMNO adalah dalam satu pasukan dalam satu team dan perkara yang utama kepada semua individu pemimpin yang ada dalam UMNO ini melihat kepada parti UMNO itu sendiri…jadi semua orang menyokong,” katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula berpendapat, langkah MKT UMNO menamakan kembali Ismail Sabri sebagai perdana menteri mampu mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN) seperti sediakala.
Ujarnya, ia merupakan satu keputusan yang diterima baik, malah mampu memberi hala tuju yang jelas.
“Kita telah berbincang dan membuat analisa sejak sekian lama dan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri ini sangat menyerlah…sebab itulah keputusan asas dibuat berdasarkan kepadanya.
“Saya memang menyokong kerana keputusan ini dilihat politik dan kerajaan ini dapat kita perkukuhkan,” tambahnya.
Terdahulu, MKT UMNO yang bermesyuarat hari ini sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid rata-rata mahu Perdana Menteri Kesembilan itu meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU15 sekiranya Barisan Nasional (BN) menang. – MalaysiaGazette